AM

PENTADBIRAN SELARI PASTIKAN INFRASTRUKTUR JOHOR SETARAF SINGAPURA - MOHAMAD

30/06/2026 11:17 AM

MUAR, 30 Jun (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur mega di Johor supaya setaraf dengan Singapura memerlukan penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan penyaluran peruntukan berbilion ringgit berjalan lancar.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata jajaran pentadbiran yang selari itu kritikal memandangkan komponen utama pembangunan pengangkutan, logistik dan pintu sempadan negeri berada di bawah bidang kuasa langsung Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata keharmonian antara kedua-dua peringkat pentadbiran tersebut akan menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan projek berskala besar demi kesejahteraan menyeluruh rakyat Johor.

"Sistem kereta api, jalan raya, sempadan dan imigresen, semuanya di bawah bidang kuasa Persekutuan. Itulah perlu kerajaan di Johor ini selari dengan pusat, kita lihat satu keharmonian boleh berlaku di situ," katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Nazri Abd Rahman menyantuni pengundi di Pusat Komersial Gemilang Bakri.

Mengulas persaingan empat penjuru di Simpang Jeram, Mohamad menyatakan keyakinan terhadap kematangan pengundi tempatan yang mengutamakan kestabilan gabungan politik yang mampu menerajui kerajaan.

"Saya berkeyakinan kerana walau berapa penjuru pun, rakyat lebih mengutamakan parti-parti yang dianggap boleh mendapat majoriti untuk memerintah," katanya yang optimis PH mampu mengekalkan momentum kemenangan di kerusi campuran tersebut.

Mohamad berkata untuk mencapai kemenangan di kawasan mempunyai kepelbagaian demografi, kelebihan akan sentiasa memihak kepada calon yang berjaya meraih sokongan inklusif daripada semua kaum demi mengekalkan agenda perpaduan.

Sambil menyambut baik maklum balas positif pengundi luar bandar, beliau menggesa jentera PH melipatgandakan usaha di seluruh Johor bagi memastikan kemenangan pada hari pengundian.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan