KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hampir semua negeri menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan lebih tinggi berbanding hasil cukai disumbangkan kecuali Selangor dan Pulau Pinang yang mencatat kutipan hasil lebih besar.
Beliau berkata agihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus menolak dakwaan kononnya terdapat negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.
Anwar berkata kerajaan menentukan agihan itu berdasarkan keperluan mendesak di setiap negeri, termasuk bagi projek tebatan banjir, menaik taraf lebuh raya dan jalan baharu Pan Borneo, sistem saliran air, pembasmian kemiskinan serta pembangunan sekolah dan kemudahan infrastruktur lain.
“Kalau nak banding, saya nak tegaskan di sini bahawa Kerajaan MADANI yang memberikan peruntukan tertinggi untuk negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ketimbang sebelumnya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung dakwaan bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip, selain usaha Kerajaan MADANI dalam menambah baik penyaluran peruntukan tersebut.
Anwar berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025, Selangor menyumbang hasil cukai sebanyak RM43.6 bilion kepada Kerajaan Persekutuan, manakala perbelanjaan Persekutuan di negeri itu berjumlah RM15 bilion.
Bagi Pulau Pinang, beliau berkata purata hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan ialah RM10.7 bilion, manakala perbelanjaan di negeri berkenaan berjumlah RM7.9 bilion dalam tempoh sama.
Perdana Menteri berkata bagi negeri-negeri lain, jumlah perbelanjaan Persekutuan adalah jauh lebih tinggi berbanding hasil cukai yang disumbangkan.
Beliau berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025 juga, Kelantan mencatat purata hasil sebanyak RM946 juta dengan perbelanjaan Persekutuan mencecah RM8.9 bilion, manakala Kedah merekodkan hasil RM3.7 bilion dengan perbelanjaan RM9.5 bilion.
Bagi Terengganu, Anwar berkata hasil diterima Kerajaan Persekutuan, termasuk hasil petroleum, adalah sekitar RM2 bilion, manakala perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM7.8 bilion, sementara Johor pula merekodkan hasil sekitar RM14 bilion dengan perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM16 bilion.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Doris Sophia mengenai pemberian khas kepada Sarawak, Anwar berkata rundingan mengenainya masih diteruskan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata perkara itu tidak diumumkan ketika pertemuannya dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bintulu dan Kuching baru-baru ini kerana kerajaan mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri serta pembayaran RM1.8 bilion oleh Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan, yang disifatkannya sebagai julung kali dalam sejarah.
“Saya telah beri jaminan, rundingan diteruskan dan memang wajar diberi peningkatan berdasarkan semangat MA63. Jadi ini akan diluluskan dalam masa secepat mungkin,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menyifatkan perkembangan melibatkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai sesuatu membanggakan kerana buat pertama kali dalam sejarah penyelesaian dicapai menerusi rundingan yang mengiktiraf hak negeri mengikut Perlembagaan.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah apabila ada rundingan memenuhi keperluan Perlembagaan mengiktiraf hak negeri dalam soal pelabuhan...dan ini melambangkan keperluan mengadakan rundingan secara sihat," katanya.
-- BERNAMA
