BEIJING, 30 Jun (Bernama-CMG) -- Kerajaan China memutuskan untuk menyalurkan bantuan kecemasan bernilai RMB100 juta (RM59.76 juta) kepada Venezuela, susulan gempa bumi yang melanda negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata bantuan berbentuk barangan itu merupakan tambahan kepada bantuan tunai yang disalurkan kerajaan China sebelum ini.
Sejak gempa bumi berlaku di Venezuela, angka kematian dan kecederaan terus meningkat.
Barangan bantuan itu akan dihantar ke Venezuela secepat mungkin bagi membantu operasi menyelamat dan usaha pembinaan semula pasca bencana di negara berkenaan, katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Menurut beliau, China juga telah berkongsi imej satelit kawasan terjejas gempa dengan Venezuela bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Pada masa sama, syarikat China serta persatuan perantau China di Venezuela turut menyediakan jentera kejuruteraan dan bekalan perubatan, selain menubuhkan pasukan penyelamat untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Guo berkata China akan terus memberikan sokongan kepada Venezuela berdasarkan keperluan negara itu.
-- BERNAMA-CMG
