BANGI, 30 Jun (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga purata minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh di antara RM4,000 dan RM4,300 setiap tan bagi tahun ini, disokong oleh harga semasa petroleum global.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata harga MSM dijangka terus disokong oleh harga petroleum global susulan ketegangan di Selat Hormuz.
“Kalau dilihat, harga minyak sawit kita sekarang ini memang masih mengukuh dan bagi tahun ini, kita mensasarkan harga purata kekal kukuh antara RM4,000 hingga RM4,300,” katanya pada sidang media selepas Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata ketegangan di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada bekalan petroleum dunia sekali gus menyebabkan harga minyak sawit dan minyak sayuran lain turut meningkat berikutan hubung kait rapat antara komoditi tersebut.
Ahmad Parveez memberitahu industri sawit turut berdepan dengan cabaran utama yang dijangka mengehadkan pengeluaran iaitu kesan pasca fenomena El Nino terhadap pendebungaan pokok kelapa sawit.
“Kita melihat kepada potensi berlakunya pasca El Nino yang membawa cuaca panas dan kurang hujan.
“Kesannya tidak berlaku serta-merta sebaliknya memberi kesan jangka panjang kepada aktiviti pendebungaan oleh serangga kumbang sawit apabila cuaca terlalu panas menyebabkan aktiviti kumbang berkurangan serta hasil perahan minyak menurun,” katanya.
Mengenai Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) Ahmad Parveez berkata lebih 80 peratus pekebun kecil di Semenanjung bersedia memenuhi keperluan peraturan tersebut.
Jelasnya MPOB menyasarkan antara 90 peratus hingga 95 peratus pekebun kecil yang mempunyai lesen sah serta status tanah yang jelas dapat dimasukkan ke dalam sistem pematuhan sebelum pelaksanaan EUDR bagi pekebun kecil bermula pertengahan tahun depan.
“Sekurang-kurangnya 90 hingga 95 peratus pekebun kecil yang sah akan dapat dimasukkan ke dalam sistem pematuhan kita sebelum tempoh pelaksanaan tersebut bermula sekali gus membolehkan minyak mereka dieksport ke pasaran Kesatuan Eropah tanpa halangan,” katanya.
-- BERNAMA
