BATU PAHAT, 30 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menetapkan misi besar di Batu Pahat bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit dan Senggarang, selain bertekad merampas semula kerusi Penggaram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sasaran parti kali ini adalah untuk menggandakan majoriti kemenangan di Rengit dan Senggarang, sekali gus memperkukuh dominasi gabungan itu di kawasan terbabit.
“Jika di Rengit ini kita menang dengan majoriti hampir 2,000 undi dan sasaran kita pada kali ini ialah sekali ganda, begitu juga dengan kerusi Senggarang yang majoritinya hampir 4,000, kita juga perlu tambah jumlah itu.
“Di Penggaram yang ketinggalan lebih 9,000 undi kita perlu kerja lebih kuat untuk merampasnya dan kita yakin pada calon kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Rengit, hari ini.
Turut hadir ialah calon DUN Penggaram Boo Chin Leong, Mohd Yusla Ismail (Senggarang) dan Mohd Zaidi Japar (Rengit).
Menteri Besar Johor itu mengingatkan para pengundi dan jentera parti, agar tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir pemimpin yang cuba melakukan sabotaj atau serangan peribadi selepas tidak disenaraikan sebagai calon.
Beliau merujuk kepada tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Rengit (ADUN) Rengit Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang didakwa melakukan serangan di media sosial, termasuk mengaitkan institusi diraja dalam isu pencalonan.
“Nak serang saya silakan, tetapi yang penting pengundi tidak terikut-ikut cara itu dan seharusnya mengikut jejak langkah pemimpin yang tidak tercalon tetapi tetap setia.
“Perkara ini pun kita dapat tahu menerusi Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang beliau (Mohd Puad) mahu mencadangkan anak dia sendiri,” katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
