KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) – Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) bagi pemandu kenderaan perdagangan kini diintegrasikan secara digital terus ke dalam sistem mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di 500 klinik panel Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif digital hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bertujuan memansuhkan borang pemeriksaan kesihatan secara fizikal bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang-Barang (GDL).
Beliau berkata sebanyak RM12.4 juta telah diperuntukkan bagi membiayai saringan kesihatan komprehensif berkenaan, melibatkan dana berjumlah RM7 juta daripada PERKESO dan RM5.4 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF).
"Melalui peruntukan ini, saringan kesihatan fasa awal disasarkan untuk 30,000 pemandu kenderaan perdagangan yang layak dan mereka hanya perlu membayar kadar subsidi RM30 sahaja, berbanding kos asal sekitar RM80 hingga RM100, manakala selebihnya ditanggung oleh PERKESO.
"Doktor di klinik panel akan mengesahkan dan memasukkan terus laporan kesihatan ke dalam sistem yang diintegrasikan dengan mySIKAP, sekali gus menjadikan proses ini lebih mudah, cepat dan telus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program PSS tersebut, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, Pengerusi PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Loke berkata saringan kesihatan fasa awal ini memfokuskan kepada pemandu berumur antara 40 hingga 59 tahun berikutan faktor risiko kesihatan yang lebih tinggi dalam kalangan kumpulan usia tersebut.
“Langkah pencegahan awal ini penting memandangkan statistik kes maut yang melibatkan pengguna yang menggunakan kenderaan perdagangan mencatatkan peningkatan sebanyak 22.3 peratus kepada 115 kes pada 2025,” katanya.
Program saringan itu disasarkan kepada pencarum aktif PERKESO yang memiliki lesen vokasional PSV E (Bas), GDL E (Kejur) atau GDL E (Bersendi), merangkumi pemeriksaan fizikal, mental, gangguan tidur (microsleep) serta ujian HbA1c bagi penghidap diabetes.
Sementara itu, Ramanan berkata faktor kesihatan seperti keletihan, mengantuk, tekanan kerja dan penyakit tidak berjangkit (NCD) dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.
Beliau mendedahkan statistik PERKESO menunjukkan pemandu lori merekodkan kematian tertinggi tahun lepas iaitu 62 kematian daripada keseluruhan 115 kes.
"Kita tidak boleh menunggu sehingga kemalangan berlaku baru hendak bertindak. Pendekatan lebih bertanggungjawab ialah mengenal pasti faktor risiko lebih awal dan memastikan hanya pemandu yang benar-benar sihat berada di jalan raya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata kadar kekerapan 7.5 minit yang ditetapkan bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Shah Alam ketika waktu puncak sekarang adalah sebagai permulaan.
"Kekerapan 7.5 minit itu bagi melihat trend penggunaan penumpang terlebih dahulu. Jadual dan kekerapan operasi berkenaan akan disemak semula dalam tempoh sebulan, sekiranya terdapat trend peningkatan jumlah penumpang yang ketara, Prasarana akan menyusun semula jadual tersebut," katanya.
-- BERNAMA
