PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia menyasar menjadi hab serantau bagi bahan api penerbangan lestari (SAF), pembuatan aeroangkasa hijau, operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pintar karbon serta teknologi penerbangan generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata peralihan ke arah industri penerbangan lestari bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam sekitar namun merupakan peluang ekonomi strategik untuk negara.
Beliau berkata sebagai satu daripada ekonomi aeroangkasa utama di Asia Tenggara, dengan kekuatan kukuh dalam pembuatan dan perkhidmatan MRO, Malaysia berada di kedudukan baik untuk menyokong peralihan global ke arah industri penerbangan rendah karbon.
“Memandangkan kelestarian semakin menjadi pertimbangan utama bagi pelabur, syarikat penerbangan dan syarikat aeroangkasa global, kita perlu memastikan ekosistem kita kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
“Jika kita merebut peluang ini lebih awal, kelestarian boleh menjadi enjin pertumbuhan perindustrian Malaysia yang seterusnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Penerbangan Lestari APAC MyAERO 2026 di sini, hari ini.
Sim berkata Malaysia sudahpun memiliki asas kukuh untuk menerajui transformasi ini disokong oleh ekosistem padu aeroangkasa, keupayaan kejuruteraan bertaraf dunia, industri biojisim dan penapisan yang matang, kapasiti tenaga boleh baharu yang semakin berkembang, institusi penyelidikan bereputasi tinggi dan lokasi strategik di tengah-tengah rantau Asia Pasifik.
"Kekuatan ini meletakkan kita di kedudukan dapat menyumbang merentasi rantaian nilai penerbangan lestari daripada pembangunan bahan mentah dan pengeluaran SAF kepada pembuatan hijau, bahan termaju, teknologi digital dan amalan penyelenggaraan lestari," katanya.
Bagi menjadikan visi itu satu kenyataan, Sim menekankan keperluan kerjasama erat antara semua pihak termasuk penggubal dasar, peneraju industri, penyedia teknologi, institusi kewangan, organisasi penyelidikan dan rakan penyelidikan antarabangsa.
"Tiada satu organisasi atau kerajaan pun yang boleh mencapai transformasi ini secara bersendirian,” katanya.
-- BERNAMA
