EKONOMI

MAYBANK INDONESIA JADI SYARIKAT INDUK KONGLOMERAT KEWANGAN

30/06/2026 08:18 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 30 Jun (Bernama) -- Para pemegang saham Maybank Indonesia telah meluluskan penubuhan bank itu sebagai syarikat induk operasi Konglomerat Kewangan Maybank di Indonesia.

Bank itu melalui satu kenyataan memberitahu kelulusan telah diberikan semasa mesyuarat agung pemegang saham luar biasa pada Isnin. Pemegang saham juga meluluskan pengambilalihan pegangan majoriti dalam Maybank Asset Management, Maybank Sekuritas Indonesia dan Asuransi Etiqa Internasional Indonesia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata penubuhan Maybank Indonesia sebagai Syarikat Induk Konglomerasi Kewangan menandakan satu peristiwa penting dalam memajukan strategi ROAR30 Kumpulan Maybank sambil mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka di ASEAN.

Khairussaleh, yang juga berkhidmat sebagai Presiden Pesuruhjaya Maybank Indonesia berkata struktur baharu ini akan mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Indonesia melalui ekosistem perkhidmatan kewangan yang lebih bersepadu.

“Dengan menghimpunkan perniagaan perbankan, pengurusan kekayaan, sekuriti dan insurans, kami akan berada pada kedudukan yang lebih baik bagi menyampaikan penyelesaian kewangan yang lancar serta berpusatkan pelanggan yang memenuhi keperluan individu dan perniagaan yang berkembang di seluruh Indonesia,” katanya.

Kelulusan tersebut mewakili langkah penting dalam mengukuhkan ekosistem perkhidmatan kewangan Maybank Indonesia selaras dengan Peraturan Penguasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia No. 30 2024 mengenai Konglomerat Kewangan dan Syarikat Induk Konglomerasi Kewangan.

Menurut Presiden Pengarah Maybank Indonesia Steffano Ridwan, struktur baharu ini adalah lebih daripada sekadar penyusunan semula korporat.

“Kami ingin memberi penghargaan kepada OJK atas bimbingan dan sokongannya sepanjang proses ini. Konglomerat Kewangan ini memperkukuh keupayaan kami untuk menjana sinergi yang lebih besar di seluruh entiti kumpulan, mempercepatkan inovasi termasuk memacu pertumbuhan yang mampan, di samping mencipta nilai jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan selaras dengan misi Perkhidmatan Kewangan Kemanusiaan kami,” katanya.

Setelah selesai pengambilalihan saham, Konglomerat Kewangan Maybank di Indonesia akan merangkumi Maybank Indonesia sebagai Syarikat Induk Konglomerasi Kewangan, bersama Maybank Sekuritas Indonesia, Maybank Asset Management, Asuransi Etiqa Internasional Indonesia, Maybank Indonesia Finance dan Wahana Ottomitra Multiartha Tbk (WOM Finance).

Bank itu berkata pemegang saham turut meluluskan pindaan kepada Tataurusan Persatuan untuk menyokong struktur baharu dan memastikan pematuhan Peraturan OJK No. 30 2024.

Secara berasingan, pemegang saham meluluskan peletakan jawatan Effendi sebagai Pengarah Pengurusan Risiko Maybank Indonesia. Steffano mengucapkan terima kasih atas dedikasi, kerja keras dan sumbangan berharganya sepanjang berkhidmat dengan bank berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan