EKONOMI

PERMINTAAN PENUMPANG UDARA SUSUT 2.2 PERATUS PADA MEI 2026

30/06/2026 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Jumlah permintaan penumpang udara yang diukur berdasarkan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), susut 2.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun, kecuali rantau Timur Tengah, permintaan terbukti meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun pada bulan berkenaan.

"Jumlah kapasiti yang diukur dalam kilometer tempat duduk tersedia (ASK) turun 2.3 peratus tahun ke tahun. Faktor beban muatan pula adalah 83.5 peratus atau naik 0.1 mata peratus (ppt) berbanding Mei 2025 yang merupakan rekod tertinggi untuk Mei," menurutnya dalam satu kenyataan.

Bagi permintaan antarabangsa, IATA memaklumkan aspek itu susut sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun pada Mei 2026, namun kecuali Timur Tengah, permintaan meningkat sebanyak 3.1 peratus.

IATA memaklumkan, kapasiti turut susut 2.4 peratus tahun ke tahun manakala muatan mencatat 83.7 peratus atau peningkatan 0.7 ppt berbanding Mei 2025.

Permintaan domestik menguncup 3.1 peratus perbanding Mei 2025 dengan kapasiti turun 2.1 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan pada 83 peratus atau turun 0.8 mata peratusan berbanding Mei 2025.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata penyusutan 28.4 peratus dari tahun ke tahun dialami syarikat penerbangan di Timur Tengah adalah susulan daripada konflik Asia Barat yang mengurangkan permintaan keseluruhan sebanyak 2.2 peratus pada Mei 2026.

Namun, angka itu memaparkan peningkatan yang ketara dari segi penyusutan 46.6 peratus dicatatkan pada April lepas yang memaparkan daya tahan rantau itu.

“Selain itu, kami turut menyaksikan penguncupan permintaan bagi Amerika Utara dan Asia, sebahagian besarnya berkait rapat dengan keadaan pasaran di Amerika Syarikat dan China," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata permintaan bagi Mei 2026 kebanyakannya berdaya tahan walaupun berdepan kenaikan harga bahan api dan tambang penerbangan.

“Walaupun ramai menganggap penyusutan mendadak harga minyak sebagai perkembangan yang menggalakkan, cabaran susulan perang AS-Iran itu berkemungkinan ketara untuk tempoh agak lama.

“Bekalan minyak yang melintasi Selat Hormuz masih goyah dan kemungkinan memerlukan masa lebih panjang sebelum manfaat daripada harga minyak yang rendah dapat dilihat menerusi harga bahan api jet yang kembali normal.

“Pada masa sama, syarikat penerbangan yang beroperasi dengan margin 2.0 peratus tiada pilihan selain terus menguji ketahanan permintaan pada tambang lebih tinggi untuk membantu menampung peningkatan kos bahan api," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan