AM

EMPAT PELAJAR MRSM DISINGKIR AKIBAT KES BULI - ASYRAF WAJDI

30/06/2026 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan empat daripada enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang terlibat dengan kes buli sudah disingkirkan.

Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebook berkata hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM bersidang hari ini.

Beliau berkata dua lagi pelajar digantung sekolah sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang melakukan siasatan sama ada mereka turut melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa.

“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli. 

“Namun, amaran berulang kali diberikan. #YouTouchYouGo,” katanya.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi berkata pelajar-pelajar junior yang didakwa membawa barang terlarang turut disiasat.

“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri menghukum pelajar-pelajar terbabit.

“Apa-apapun saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan Jawatankuasa Disiplin Maktab kerana mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam sebagaimana arahan saya,” katanya.

Pada Ahad, polis menahan enam pelajar lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Muar, pada Mei lepas.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan