FOKUS BERNAMA

AMBIENCE TOURISM: YANG DIJUAL BUKAN DESTINASI, TETAPI EMOSI

01/07/2026 09:48 AM
From Muhammad Basir Roslan

Dewasa ini, kian ramai yang pergi melancong bukan kerana ingin melihat “tempat orang” menerusi tarikan fizikal atau aktiviti yang ditawarkan, tetapi disebabkan mahu menyelami suasana.

Konsep ini yang dikenali sebagai ambience tourism atau pelancongan suasana, yang umumnya diangkat oleh pengusaha industri inap desa di negara ini, menekankan pada “apa yang kita rasa semasa berada di sana” dan bukan “ke mana kita pergi.”

Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, trend pelancong domestik memilih percutian inap desa melonjak ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu daripada 3.4 peratus pada 2022 kepada 8.6 peratus pada 2024, sekali gus mencerminkan perubahan selera masyarakat dan potensi yang ditawarkan oleh sektor itu.

 Malah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengunjurkan sektor inap desa mampu meraih pendapatan hingga RM200 juta pada Tahun Melawat Malaysia 2026.

(Inap desa merupakan satu cabang pelancongan berasaskan komuniti, iaitu pelancong tinggal bersama-sama dengan tuan rumah selaku keluarga angkat dan turut sama menjalani rutin harian keluarga itu.)   

 

 MEMORI KAMPUNG YANG DIHIDUPKAN SEMULA

Dalam menarik pelancong, pengusaha inap desa umumnya menawarkan pengalaman hidup di kampung, termasuk “tinggal” di rumah tradisional Melayu seperti yang ada di Laman Bendang Homestay, Sungai Haji Dorani di Sungai Besar, Selangor.

Berasal daripada rumah lama milik keluarga Mohd Shuib Bahari, 42, Laman Bendang Homestay mengetengahkan seni bina tradisional Melayu menerusi struktur binaan dan penggunaan kayu seperti cengal, balau dan meranti.   

pic-2

Malah, rumah yang berusia kira-kira 60 tahun itu turut dilengkapi perabot lama dan barangan yang digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu seperti tempayan tanah liat dan perkakas dapur tradisional.

“Kami memutuskan untuk berkongsi runah itu dengan orang ramai kerana nilai warisannya yang tinggi,” kata Mohd Shuib ketika ditemui Bernama.

Katanya, selain pengalaman bermalam di rumah tradisional Melayu, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti kampung seperti memancing di kolam, menggagau ikan di dalam lumpur, berbasikal mengelilingi kampung serta bermain permainan tradisional.

Bagi meningkatkan pengalaman “tinggal di kampung”, beliau berkata mereka juga menawarkan pelbagai masakan kampung kepada tetamu.

Seorang pengunjung Mohd Rozaidy Shukry, mengakui peluang menginap di rumah tradisional itu membawanya kembali ke zaman kanak-kanak apabila pulang ke kampung halaman menjengah datuk dan nenek.

“Pengalaman unik inilah yang ingin saya kongsikan dengan anak-anak dan ahli keluarga saya,” katanya.

 

MENGHIDUPKAN LEGASI DAN WARISAN KELUARGA

Bagi Kamarul Zaman Ajid, 65, yang mengusahakan Firka Homestay di kampung sama, beliau menjadikan rumah pusaka yang seusia dengannya itu sebagai inap desa kerana mahu berkongsi nilai sentimental kediaman yang pernah menyaksikan beliau dan 11 lagi adik beradik membesar. 

“Rumah pusaka ini bukan sekadar bangunan, tetapi sebahagian daripada sejarah panjang keluarga besar kami, dan saya ingin berkongsi nilai itu dengan pelancong yang menginap di sini,” katanya ketika dihubungi.

pic-3

Namun, berbeza dengan kebanyakan inap desa lain yang menyediakan pelbagai aktiviti, Firka Homestay memberi ruang kepada tetamu untuk menikmati suasana kampung yang dikelilingi sawah padi itu dengan cara mereka sendiri.

“Antara maklum balas yang sering saya terima daripada pengunjung ialah mereka berasa tenang, puas dengan suasana tanpa gangguan berlebihan ketika tempoh penginapan,” ujarnya.

 

KELEBIHAN MALAYSIA BANGUNKAN AMBIENCE TOURISM

Mengulas potensi ambience tourism di Malaysia, Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa berkata kekuatan utama negara terletak pada gabungan elemen budaya, alam semula jadi dan kehidupan komuniti yang masih mengekalkan cara hidup bermasyarakat. 

“Kekayaan biodiversiti dan landskap semula jadi negara merangkumi hutan, pantai, pulau dan pelbagai lagi serta kepelbagaian komuniti, budaya, makanan dan warisan yang mencerminkan identiti tempatan autentik, adalah antara kelebihan Malaysia yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam memenuhi potensi ambience tourism,” katanya.

pic-4

Menurut pensyarah di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia itu lagi, kelebihan tersebut turut diperkukuh oleh faktor lain seperti kos pelancongan yang masih kompetitif, kemudahan akses serta penggunaan bahasa Inggeris yang meluas, sekali gus memudahkan interaksi dengan pelancong antarabangsa.

Pun begitu, beliau melihat kekuatan sedia ada itu belum benar-benar diterjemahkan kepada produk pelancongan secara tersusun dan berdaya saing di peringkat global.

“Produk yang ada bergerak secara berasingan dan belum dibangunkan dalam bentuk pengalaman yang tersusun serta mudah difahami oleh pasaran antarabangsa. 

pic-5

“Malah, dari segi pengusaha inap desa sendiri, masih ramai yang belum berdaftar dengan MOTAC dan ini menyukarkan promosi di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Memetik laporan bertajuk Global Rural Tourism Market Size and Share Analysis - Growth Trends and Forecasts (2026-2033) yang diterbitkan oleh Coherent Market Insights pada April lalu, beliau berkata segmen pelancongan desa global mencatat pertumbuhan berterusan dan kini dianggar bernilai sekitar US$126.88 bilion serta diunjur berkembang kepada US$210.50 bilion menjelang 2033, dipacu oleh generasi Milenial dan Z yang lebih gemarkan kelainan. 

Data itu kata beliau, mencerminkan potensi besar segmen berkenaan yang sepatutnya direalisasikan oleh pemain industri di negara ini. 

Di Malaysia, data MOTAC  pada 2024 menunjukkan pelancongan desa terus menyumbang kepada ekonomi mikro luar bandar setiap tahun, dan walaupun nilainya masih kecil berbanding keseluruhan industri pelancongan negara yang menyumbang RM291.9 bilion atau 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, impak segmen ini lebih ketara dari sudut agihan ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat, katanya.

Pada masa yang sama, Siti Suriawati mengingatkan pembangunan segmen itu perlu dilaksanakan secara seimbang bagi mengelakkan risiko pengkomersialan berlebihan yang boleh menjejaskan keaslian sesuatu destinasi.

“Apabila sesuatu kawasan terlalu berorientasikan pasaran pelancongan, elemen budaya dan suasana asal berisiko diubah atau dipentaskan semata-mata untuk memenuhi permintaan pelawat dan akhirnya kehilangan identiti tempatan.

“Destinasi yang berjaya ialah destinasi yang mampu menjana pendapatan tanpa kehilangan identiti yang menjadi tarikan asalnya,” katanya, menambah pembangunan tidak terkawal juga berisiko menjejaskan landskap kampung yang menjadi antara aset utama ambience tourism negara.

 

KENALI PASARAN

Sementara itu, menurut pengasas Your Inbound Matters, iaitu sebuah platform komuniti dalam talian bagi pemain industri pelancongan negara, Uzaidi Udanis, persoalan sekarang ialah sejauh mana aset sedia ada dapat dibangunkan sebagai produk ambience tourism yang memenuhi kehendak pelancong, khususnya dari luar negara. 

Kata beliau, ini kerana setiap segmen pasaran mempunyai cita rasa berlainan.

pic-6

“Pelancong Eropah misalnya, lebih cenderung menghargai alam semula jadi, budaya tempatan dan kehidupan desa, selain pasaran serantau seperti Singapura pula mencari pengalaman singkat tetapi tenang dan dekat dengan alam.

“Pada masa sama, pelancong dari Jepun dan Korea turut dilihat berpotensi kerana mereka menghargai unsur ketenangan, keaslian, estetika dan interaksi komuniti, manakala golongan Milenial serta Generasi Z pula semakin mencari pengalaman yang mempunyai nilai peribadi dan boleh diceritakan semula, khususnya menerusi media sosial,” katanya.

Namun kata beliau, antara kelemahan paling ketara ketika ini ialah banyak produk pelancongan desa di Malaysia masih belum benar-benar “bookable” untuk pasaran global.

“Produk dan suasana sudah ada, cuma apa yang masih kita kurang adalah dari segi siapa pasaran sasaran kita, apa pengalaman yang ingin dijual, berapa harga pakej yang berbaloi, bagaimana tempahan dibuat, dan mengapa pelancong luar patut memilihnya,” katanya.

“Kalau boleh mereka nak membayangkan dahulu pengalaman yang bakal mereka tempuhi sebelum tiba di sesuatu destinasi pelancongan,” tambah beliau.

Uzaidi turut menegaskan masa depan ambience tourism di Malaysia bergantung pada keupayaan industri untuk bergerak daripada sekadar menjual suasana kepada membina sistem ekonomi pengalaman yang lebih tersusun dan bernilai tinggi.

“Sekiranya transformasi ini berjaya dilakukan, ambience tourism berpotensi berkembang daripada sekadar segmen pelancongan khusus menjadi satu pemacu baharu industri pelancongan negara, terutama ketika semakin ramai pelancong global mencari pengalaman yang lebih perlahan, autentik dan bermakna,” katanya penuh yakin.

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan