SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- Tiada sebarang kes penipuan pakej haji dan badal haji direkodkan sepanjang musim haji 1447H/2026M, hasil pemantauan bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama rapat antara Tabung Haji (TH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan, yang melaksanakan pemantauan secara fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pengawasan menerusi platform media sosial.
"Buktinya, kejayaannya tahun ini alhamdulillah tidak ada kes-kes penipuan, tidak ada kes-kes termasuk kes penipuan badal haji yang kita terima.
"Hal ini menunjukkan bahawa keberkesanan dan kita bersyukur, 'zero' (sifar) kes 'scammer' (penipuan) pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Terakhir dari Tanah Suci bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli serta Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Zulkifli berkata TH turut berjaya mengurangkan kadar jemaah yang menangguhkan tawaran menunaikan haji daripada 50 peratus pada tahun lepas kepada 18 peratus pada musim ini.
Beliau berkata pencapaian itu adalah hasil pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan TH termasuk pemberitahuan lebih awal kepada bakal jemaah serta usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan persediaan mereka.
"Kita telah melancarkan kempen #menujuistitoah pada Februari lepas bagi meningkatkan kesedaran persediaan awal menunaikan haji, malah tawaran haji selesai pada Ramadan 1447H, lebih awal dari musim sebelumnya," katanya.
Majlis sambutan ketibaan jemaah itu menyaksikan 258 jemaah haji tiba di KLIA pada 12.10 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8385), yang berlepas dari Madinah pada 10.14 malam Selasa (waktu Arab Saudi).
-- BERNAMA
