AM

FAHMI ANTARA PENERIMA DARJAH KEBESARAN PULAU PINANG TAHUN INI DENGAN GELARAN DATUK SERI

10/07/2026 05:44 PM

GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan mendahului senarai 1,221 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib, esok.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri” sekali gus menjadi penerima tunggal bagi anugerah berkenaan pada tahun ini.

Sebanyak 19 individu pula dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran “Datuk Seri” antaranya Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd Datuk Abdul Halim Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian,

Turut menerima anugerah DGPN ialah Pengarah Urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd Tan Sri D.Murugan, Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn Bhd Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dan Pengerusi M Summit Group Datuk Moh See Eng.

Sementara itu, sembilan individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 72 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran “Datuk”.

Antara penerima DMPN ialah bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad Datuk Amran Hafiz Affifudin manakala penerima DSPN pula termasuk pelakon filem terkenal yang juga Pengarah dan Penulis Skrip Cathay-Keris Film Productions Allahyarham Nordin Ahmad serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim.

Selain itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Abdul Latiff Abd Aziz, Pengarah Projek SRS Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Sdn Bhd Adil Putra Ahmad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Mohamed Abdul Rahman juga antara penerima DSPN.

Sementara itu, sebanyak 92 individu menerima Darjah Johan Negeri, Bintang Cemerlang Negeri (31), Pingat Kelakuan Terpuji (194), Pingat Jasa Kebaktian (328), Pingat Jasa Masyarakat (463) dan Pingat Bakti Setia (12).

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung selama empat hari bermula esok serta pada 13, 14 dan 15 Julai ini.

Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah 101 individu akan menerima Darjah Kebesaran manakala 1,120 lagi dianugerahkan Bintang dan Pingat Kehormatan.

"Mereka terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan-usahawan tempatan dan ahli-ahli badan sukarelawan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan