ISTANBUL, 25 Nov (Bernama-Anadolu) -- Pakatan diketuai Arab Saudi pada Selasa memaklumkan bahawa sebuah menara di daerah perniagaan Riyadh menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Serangan itu dilakukan menggunakan dron, kata jurucakap pakatan berkenaan Turki al-Maliki dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform X.
“Tindakan Houthi yang sengaja menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam akan dibalas dengan tindakan tegas,” kata al-Maliki.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman terdahulu oleh jurucakap berkenaan yang memperincikan serangan terhadap menara itu dan mengesahkan bahawa pihak berkuasa berkaitan telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa seramai 11 orang cedera dalam serangan itu.
Insiden itu merupakan kali kedua dalam tempoh kurang seminggu sebuah menara di daerah berkenaan diserang.
Pada Khamis, pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan bahawa serangan Houthi menyasarkan sebuah menara di daerah perniagaan ibu negara itu, mengakibatkan kerosakan pada beberapa tingkat bangunan berkenaan serta bangunan berhampiran.
-- BERNAMA-ANADOLU
