Makanan pelbagai kaum bawah satu bumbung, eratkan perpaduan [ 15m ago ]

Berita AM


Suri rumah disamun dua lelaki bermotosikal

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan pasar raya Giant di Taman Connaught, Cheras semalam.

Wanita berusia 21 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras yang sedang meronda ternampak kejadian itu dan terus memberi bantuan.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata dalam kejadian pada pukul 11.20 malam itu, wanita berkenaan bukan sahaja diacukan parang ke lehernya tetapi turut ditumbuk di pipi.

"Semasa kejadian, seorang daripada lelaki terbabit membuka pintu kereta pengadu dan meragut beg dan telefon bimbit.. mangsa turut ditumbuk di pipi yang kemudiannya melawan dengan menendang pintu ke arah lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 34 tahun berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri dengan motosikal setelah melanggar kereta peronda polis.

"”Usaha untuk mengesan seorang lagi suspek giat dijalankan,” katanya sambil memberitahu ujian air kencing mendapati lelaki yang ditahan itu positif dadah.

Polis turut merampas beberapa barang bukti antaranya sebuah motosikal Yamaha Y15zr yang menggunakan plat palsu, gergaji besi dan beg tangan mengandungi wang tunai berjumlah RM670.

Mohamed Mokhsein berkata suspek direman tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu