Sulsel boleh belajar aspek urus, bangun sektor pelancongan Sabah [ 4m ago ]

Berita AM


Sultan Muhammad V berkenan hadir Sambutan Maulidur Rasul

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V (dua, kiri) bersama Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra (kiri) berkenan mengaminkan doa pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Al Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan malam ini.
TUMPAT, 8 Nov -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kelantan di Masjid Al - Ismaili di Pasir Pekan di sini, malam ini.

Baginda turut diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra dan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Pada sambutan itu, Sultan Muhammad V turut berkenan untuk solat Maghrib dan Isyak bersama ribuan jemaah yang diimamkan Imam Tua Masjid Al-Ismaili Datuk Baharuddin Abdullah.

Baginda turut berkenan mendengar ceramah khas sempena Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Prof Madya Wan Abdul Fattah Wan Hussin.

Sambutan turut dimeriahkan dengan berzanji dan qasidah serta berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu