Oleh Siti Salwa Shaari
PEKAN, 19 Jan -- Nextgreen Global Bhd (NGGB) menjangkakan Taman Teknologi Hijau (GTP) di Paloh Hinai di sini, dapat memulakan operasi pengeluaran kertas tanpa kayu menjelang Julai ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Lim Thiam Huat berkata, kerja-kerja fizikal bagi fasa pertama GTP sudah 75 peratus siap dan akan disusuli dengan kerja-kerja infrastruktur yang dijangkakan pada April.
"Kesemua mesin berkaitan telah dihantar ke sini manakala proses pemasangan berkemungkinan besar selesai pada Mei sebelum tempoh percubaan dimulakan pada Jun.
"Fasa pertama itu dijangka dapat mewujudkan sebanyak 200 pekerjaan dengan keutamaan kepada penduduk tempatan, khususnya generasi kedua peneroka Felda dari Pekan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Lim sebelum itu melawat Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd dan mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit yang diketuai oleh Pengerusinya, Anuar Malek.
Produk kertas tanpa kayu itu dihasilkan menggunakan kejayaan teknologi yang mampu menjadikan tandan buah kelapa sawit kosong kepada pulpa dan seterusnya digunakan bagi tujuan penghasilan kertas.
"Lokasi di Pekan ini amat bersesuaian memandangkan terdapat banyak kilang dan ladang sawit di sekitarnya yang dapat membekalkan bahan mentah selain kedudukannya yang hampir dengan bandar dan Pelabuhan Kuantan," katanya.
Menurut Lim, selain bekalan tenaga oleh Tenaga Nasional Bhd, GTP akan turut memanfaatkan penggunaan teknologi solar terkini manakala bekalan air dirawat diambil daripada sumber sungai dan tasik yang berhampiran.
Fasa pertama GTP dijangka menghasilkan 10,000 tan metrik kertas setahun manakala fasa kedua membabitkan pengeluaran kertas tisu akan mula diusahakan selepas fasa pertama selesai.
Bagi fasa kedua, NGGB telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat Jepun tersenarai iaitu IHI Corp dan Nomura Holdings Inc, kata Lim.
Beliau berkata, pembangunan GTP di kawasan seluas 165 hektar dengan kos keseluruhan RM2 bilion, telah dimulakan pada 2015 dalam lima fasa yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Selain pulpa dan kertas, teknologi teras GTP adalah baja, makanan haiwan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui.
Apabila siap kelak, GTP akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bangunan R&D, asrama pekerja dengan kemudahan sukan, lot kedai dan loji rawatan air.
"Kami menganggarkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Malah, pada masa ini, kami turut teruja untuk bekerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Putra Malaysia dari segi penyediaan peluang latihan industri untuk penuntut mereka," katanya.
Sementara itu, Anuar berkata pihaknya berharap penduduk kawasan itu, khususnya dari penempatan Felda berhampiran akan diberi keutamaan mengisi kekosongan jawatan baharu (di GTP) yang turut membantu meningkatkan status ekonomi mereka.
"Kami menyambut baik peluang untuk bekerjasama dengan NGGB, khususnya dari segi bekalan bahan mentah atau sisa daun dan tandan buah sawit selain membantu aspek pemasaran, terutama baja yang akan dihasilkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial