FOKUS BERNAMA

Penyusutan Tanah Rizab Melayu: Tangani Segera Sebelum Parah

01/11/2018 03:53 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

 

Isu Tanah Rizab Melayu banyak dibangkitkan dan dibincangkan  kebelakangan ini. Rencana bersiri ini mengupas isu berkaitan yang menuntut perhatian daripada pihak berkuasa berkenaan bagi memastikan kepentingan Tanah Rizab Melayu terus dipelihara. 

Ini adalah yang pertama daripada lima bahagian.

 

 KUALA LUMPUR (Bernama) -- Seperti tiada yang peduli. Meskipun sudah wujud 105 tahun lalu, Tanah Rizab Melayu seolah-olah ‘indah khabar dari rupa’ ditambah pula dengan dakwaan bahawa hampir empat juta hektar tanah ini sudah ‘beralih tangan’!

Seolah-olah tiada noktah, Tanah Rizab Melayu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada keistimewaan orang Melayu terus dihimpit kepincangan. Janganlah nanti orang Melayu menjadi ‘melukut di tepi gantang’ atau nasib mereka berakhir umpama ‘menang sorak, kampung tergadai’.

Berdasarkan Wasiat Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957, Tanah Rizab Melayu mesti kekal sekurang-kurangnya 50 peratus.

Namun, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Paling malang, ia tidak pernah mencapai kadar peratus seperti yang diwasiatkan oleh Raja-raja Melayu.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendedahkan peratusan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus sahaja.

Laporan itu juga menyebut banyak tanah berkenaan ditukar statusnya bagi tujuan pembangunan tanpa diganti atau mengambil masa yang terlalu lama untuk digantikan.

 

PERLU DIPERTAHANKAN 

 

Tiga tahun selepas laporan itu dibentangkan, peratusan Tanah Rizab Melayu mulai meningkat. Data yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan ia kini dianggarkan mencecah 33.3 peratus.

Apa yang dibimbangi adalah peratusan itu boleh menyusut kembali sekiranya tiada kesungguhan oleh pihak berwajib untuk memastikan tiada siapa memperlekehkan kepentingan Tanah Rizab Melayu ini.

Tanah Rizab Melayu dikhususkan untuk kaum Melayu di Semenanjung Malaysia. Keluasannya terjejas apabila tanah, yang pada mulanya terletak di kawasan luar bandar, dimasukkan dalam kawasan pihak pentadbiran berkuasa tempatan atau kawasan perbandaran yang menjadikan ia berpotensi untuk pembangunan.

 Keadaan semakin ‘tenat’ apabila Tanah Rizab Melayu sering dianggap sebagai tanah kelas kedua yang menyebabkan pembangunan di kawasan tanah itu jauh ketinggalan, selain berdepan nilai harga pasaran yang lebih rendah berbanding tanah bukan Tanah Rizab Melayu.

Ini menyebabkan segelintir pemilik tanah dan pihak berkepentingan sanggup menukar status tanah tersebut menjadi tanah berstatus terbuka agar nilainya lebih berdaya saing dengan tanah bukan Tanah Rizab Melayu.

 

KAJIAN MENDALAM

Isu mengenai Tanah Rizab Melayu mendapat perhatian Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak, yang melakukan kajian mendalam mengenainya sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau berkata Kuala Lumpur mempunyai keluasan Tanah Rizab Melayu yang paling sedikit  iaitu hanya 803 hektar atau 3.3 peratus daripada keluasan tanah berjumlah 24, 276.54 hektar yang ada di bandar metropolitan tersebut. 

Antara kawasan Tanah Rizab Melayu yang masih ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Kampung Baru, Kampung Kerinchi, Kampung Datuk Keramat, Segambut dan Kampung Padang Balang. 

Sebelum ini, beberapa tanah berkenaan diambil untuk tujuan pembangunan seperti yang berlaku di Pantai Dalam, Wangsa Maju, Bukit Kiara dan sebahagian Bandar Tun Razak.

Kajian beliau menunjukkan walaupun Pahang merupakan negeri paling luas di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 3.6 juta hektar tetapi pada 2014, keluasan Tanah Rizab Melayu yang direkodkan di negeri itu adalah hanya 12.14 peratus atau 436,910 hektar. 

Tanah Rizab Melayu di Terengganu pula berjumlah kurang dari 1 peratus (118 hektar) sdangkan Tanah Pegangan Melayu (TPM) berjumlah 60 peratus daripada keluasan 1.295 juta hektar negeri itu.

Takrifan TPM di Terengganu ialah tanah milik orang Melayu yang berkeluasan kurang daripada 4 hektar (10 ekar) dan dijamin di bawah Artikel 90 Perlembagaan Persekutuan.

“Keluasan Semenanjung Malaysia termasuk dua bekas Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang) adalah 12,910,138 hektar. Daripada keluasan tersebut,  Tanah Rizab Melayu setakat 2017 adalah seluas 4,295.462 hektar yang bersamaan 33.3 peratus.

"Walaupun jumlah tanah ini meningkat tetapi ia belum mencapai tahap 50 peratus seperti yang termaktub dalam Wasiat Raja-raja Melayu. Kita bimbang ia menyusut semula sekiranya tiada penguatkuasaan dilakukan,“ katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini.

Mohd Hasrol Haffiz menegaskan ia bukanlah mustahil bagi kerajaan untuk meningkatkan pegangan tanah berkenaan jika kuasanya terkandung dalam Enakmen Rizab Melayu Negeri dan Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.

 

PUNCA KEHILANGAN TANAH RIZAB MELAYU

Kehilangan Tanah Rizab Melayu berlaku apabila ia dibatalkan tanpa penggantian serta merta seperti yang dikehendaki mengikut Enakmen Rizab Melayu  (ERM) dan Perkata 89(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Hasrol Haffiz menjelaskan: “Perlembagaan Persekutuan menjelaskan jika mana-mana kawasaan Tanah Rizab Melayu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya, maka, satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklan serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah.

“Sehingga kini, anggaran keluasan Tanah Rizab Melayu yang diganti pula sukar diperoleh kerana kebanyakan maklumat agak sulit dan orang awam sukar mengaksesnya.

“Keluasan tanah ini hanya boleh diperoleh melalui data yang dikeluarkan sama ada melalui Persidangan DUN, Persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) dan Laporan Ketua Audit Negara, “ katanya.

Menurutnya terdapat dua perspektif yang perlu diambil berat dalam soal pembangunan dan pelupusan Tanah Rizab Melayu.

Pertama, bagi tujuan pembangunan, ada tanah yang diambil balik mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. Bagi tanah yang dibangunkan untuk kepentingan Melayu, statusnya tidak dibatalkan manakala pembangunan untuk tujuan umum dan kaum lain, ia perlu dibatalkan statusnya dan diganti dengan serentak.

Kedua, ia melibatkan tindakan pemilik Tanah Rizab Melayu yang membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk membatalkan status tanah bagi memberi laluan kepada pelupusan dan penjualan tanah kepada mana-mana pembeli sama ada Melayu, bukan Melayu atau bukan warganegara.

Pembatalan itu tidak dibuat serentak dengan penggantian tanah yang mungkin disebabkan kelemahan dalam sistem pengurusan Pentadbir Tanah dan Galian, katanya.

“Hanya Negeri Sembilan sahaja yang mengambil langkah segera menguatkuasakan arahan pengurusan pentadbiran Tanah Rizab Melayu 2015 selepas menerima dapatan dan teguran Ketua Audit Negara mengenai pengurusan tanah berkenaan.

“Kelemahan sistem pengurusan Tanah Rizab Melayu ini menjadi penyebab prosedur Tanah Rizab Melayu tidak dapat dilaksanakan secara lebih telus,” katanya.

 

TIADA KETEGASAN UNDANG-UNDANG

Daripada sudut perundangan, Tanah Rizab Melayu sememangnya dilindungi namun, isunya berbangkit kerana pihak yang mempunyai kuasa dalam pengurusan dan pentadbirannya tidak tegas menguatkuasakan perundangan itu.

Mohd Hasrol Haffiz mendakwa kebanyakan pembatalan dan kegagalan menggantikan Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan status berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa untuk mematuhi peruntukan yang ada  ​​​​​​atau mungkin terdapat campur tangan pihak luar.

Menurutnya terdapat satu peruntukan mengenai tindakan pegawai yang bertanggungjawab untuk mencatatkan peringatan di dalam dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan dan digantikan semula.

Sekiranya pegawai tersebut gagal berbuat demikian, individu itu boleh dikenakan denda sebanyak RM100, katanya.

“Peruntukan itu tidak tegas dalam usaha melindungi Tanah Rizab Melayu daripada aspek pengurusan dan pentadbiran. Sepatutnya, peruntukan amaun denda perlu ditingkatkan kepada kadar yang munasabah, ditambah pula dengan hukuman penjara bagi satu tempoh tertentu atau kedua-duanya sekali.

“Kegagalan pegawai mencatatkan peringatan itu adalah satu kesalahan undang-undang. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada peruntukan hukuman yang boleh menjadi tindakan tegas dan keras  dari sudut penguatkuasaan...tindakan sedemikian adalah amat penting bagi memastikan peratusan Tanah Rizab Melayu dapat ditingkatkan,” katanya.

 

SERAGAMKAN UNDANG-UNDANG TANAH RIZAB MELAYU

Kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh  ke atas urusan pentadbiran tanah bagi negeri masing-masing seperti yang digariskan dalam Senarai Kedua (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara berkaitan pengurusan dan pentadbiran Tanah Rizab Melayu.

Terdapat enam  Enakmen Rizab Melayu diguna pakai bagi sembilan negeri di Semenanjung Malaysia.

Hanya negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya), Negeri Sembilan dan Pahang) yang mempunyai peruntukan undang-undang Tanah Rizab Melayu yang seragam iaitu Enakmen Rizab Melayu (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142) 1933.

Negeri-negeri lain pula mempunyai pelbagai variasi pentadbiran dan pengurusan undang-undang tanah berkenaan, kata Mohd Hasrol Haffiz.

Sebagai contoh, katanya, Kelantan mempunyai perundangan yang amat ketat dalam pengurusan Tanah Rizab Melayu.

“Penguatkuasaan Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 perlu dikuatkuasakan secara bersama dengan Enakmen Tanah Kelantan 1938 yang memperuntukkan hak dan pemilikan Tanah Rizab Melayu di Kelantan mestilah anak watan Kelantan.

“Di Kedah,  Raja mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana orang sebagai ‘Melayu’  seperti yang terkandung dalam Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu Kedah.

“Enam undang-undang yang berbeza antara negeri berkaitan Tanah Rizab Melayu ini menyukarkan keseragaman undang-undang.  Undang-undang berkenaan tanah ini digubal semasa era pemerintahan British yang dilihat sudah tidak relevan dengan suasana dan persekitaran semasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Hasrol Haffiz menyarankan supaya kerajaan Persekutuan atau negeri menyemak semula perkara itu agar perundangan yang lebih seragam dan holistik dapat  diwujudkan.

Beliau menjelaskan Perkara 89(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penggubalan undang-undang baharu.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kesediaan kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia untuk berbuat demikian demi mengekalkan kelangsungan Tanah Rizab Melayu serta kepentingan pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu.

Selain memperkukuh penguatkuasaan dan perlindungan Tanah Rizab Melayu, beliau turut mencadangkan supaya usaha meningkatkan nilai ekonomi dan pembangunan tanah berkenaan perlu dilaksanakan dengan lebih serius demi kepentingan orang Melayu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANG SISI

 

JAMINAN KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Tanah Rizab Melayu adalah satu daripada jaminan keistimewaan Orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi satu daripada tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang diperakui dan dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957, sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Wasiat tersebut berbunyi: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Rizab Melayu sehingga 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.

Ia dibentuk bagi menghalang bukan Melayu memiliki tanah kerajaan yang terletak di dalam kawasan simpanan Melayu dan menyekat sebarang urusniaga persendirian antara bukan Melayu dan Melayu yang melibatkan Tanah Rizab Melayu.

Sejak 1921, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu tidak pernah mencapai sehingga 50 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

Pada 1921, rekod menunjukkan peratusannya hanya 15.8 peratus (2,088,505 hektar), 1931 (23.8 peratus) , 1947 (18.3 peratus), 1955 (13.3 peratus), 1970 (13 peratus), 1983 (9.8 peratus), 1986 (13.3 peratus) 1995 (13.4 peratus) dan 2005 (12.3 peratus).

Pada 2009, jumlah keseluruhan Tanah Rizab Melayu adalah kira-kira 11.99 peratus atau 1,578,263 hektar, yang jauh daripada jumlah yang diwasiatkan oleh Raja-raja Melayu iaitu sekurang-kurang 50 peratus!

Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendedahkan Tanah Rizab Melayu berjumlah 12 peratus dan menyatakan banyak tanah berkenaan ditukar statusnya untuk tujuan pembangunan tanpa diganti atau mengambil masa yang terlalu lama untuk digantikan.

Laporan itu turut menyebut terdapat kes melibatkan pihak berkuasa negeri menukar Tanah Rizab Melayu kepada pegangan terbuka untuk memberi laluan untuk warga asing memiliki tanah di negara ini.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan