EKONOMI

Pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.4 peratus bagi suku ketiga 2019

15/11/2019 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov -- Ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 4.4 peratus bagi suku ketiga 2019 berbanding 4.9 peratus semasa suku kedua 2019, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga dicatatkan pada 4.4 peratus bagi suku yang sama 2018.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata prestasi KDNK lebih rendah itu berikutan pertumbuhan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pertanian yang turut rendah selain aktiviti perlombongan dan pembinaan yang berkurangan.

“Dari segi permintaan, kebanyakan komponen permintaan domestik dan eksport bersih juga mencatatkan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan,” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2019 di sini, hari ini.

Bagi sektor utama, beliau berkata sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus pada suku ketiga 2019 berbanding 6.1 peratus pada suku kedua tahun ini, manakala pertumbuhan sektor pembuatan adalah pada kadar sederhana 3.6 peratus (suku kedua 2019: 4.3 peratus) dan sektor pertanian berkembang 3.7 peratus (suku kedua 2019: 4.2 peratus).

Pertumbuhan sektor pembuatan yang rendah adalah disebabkan pertumbuhan suram sektor elektrik dan elektronik yang terjejas akibat permintaan global yang lebih lemah.

Sektor ini turut menerima kesan daripada industri berkaitan pengguna yang mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan, susulan pertumbuhan lebih rendah direkodkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah dan ditapis.

Sektor pertanian pula terjejas ekoran kadar pemulihan pengeluaran sawit yang perlahan manakala kegiatan perhutanan dan pembalakan terus menurun.

Sektor perlombongan menguncup 4.3 peratus (suku kedua 2019: +2.9 peratus), terutamanya disebabkan oleh kerja-kerja penyenggaraan yang menjejaskan pengeluaran minyak.

Sektor pembinaan juga susut 1.5 peratus (suku kedua 2019: +0.5 peratus) berikutan penguncupan ketara subsektor bukan kediaman di tengah-tengah lebihan bekalan hartanah komersial yang berterusan.

Semasa tempoh yang dinilai, Nor Shamsiah berkata pertumbuhan permintaan domestik menjadi sederhana kepada 3.5 peratus daripada 4.6 peratus pada suku kedua 2019, dan perbelanjaan sektor swasta kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan.

Penggunaan swasta meningkat 7.0 peratus pada suku ketiga 2019 memandangkan perbelanjaan isi rumah menjadi normal ke arah aliran jangka panjang, sebahagiannya menunjukkan kesan asas yang kukuh daripada perbelanjaan semasa tempoh tanpa cukai 2018, manakala perbelanjaan penggunaan awam meningkat satu peratus berbanding 0.3 peratus pada suku kedua 2019.

Pertumbuhan pelaburan swasta berkembang sedikit pada 0.3 peratus berbanding 1.8 peratus semasa suku kedua 2019, dipengaruhi oleh perbelanjaan modal lebih rendah di seluruh sektor ekonomi utama, manakala pelaburan awam kekal dalam penurunan (-14.1 peratus; suku kedua 2019: -9.0 peratus) menunjukkan perbelanjaan modal lebih rendah oleh kerajaan Persekutuan dan syarikat awam.

Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku ketiga 2019, menjadikan keseluruhan prestasi KDNK pada 4.6 peratus bagi tempoh tiga sukuan pertama 2019.

Kadar pengangguran pula stabil pada 3.3 peratus semasa suku ketiga 2019.

Secara keseluruhan, kadar pertumbuhan ini dijangka kekal dan berterusan bagi baki tempoh 2019 dan sehingga menjelang 2020, katanya.

Beliau berkata perbelanjaan isi rumah akan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong pertumbuhan berterusan guna tenaga dan pendapatan.

"Dari segi luaran, sokongan daripada eksport bersih mungkin sederhana, memandangkan import dijangka berkembang lebih pantas berbanding eksport selaras dengan peningkatan yang dijangkakan dalam aktiviti pelaburan,” katanya.

Inflasi keseluruhan, yang berada pada 1.3 peratus pada suku ketiga 2019, dijangka rendah bagi tempoh 2019 secara keseluruhannya, menunjukkan sumbangan menurun daripada luputnya impak Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta harga bahan api domestik, kerana harga siling bahan api masih dilaksanakan sehingga akhir 2019

Bagaimanapun, purata inflasi pada 2020 dijangka lebih tinggi daripada angka pada 019 tetapi kekal sederhana.

Jangkaan ini mencerminkan luputnya impak perubahan dasar cukai penggunaan, pemansuhan harga siling bahan api dalam keadaan prospek harga minyak dunia yang secara relatif lemah selain langkah dasar yang sedia ada untuk mengekang harga makanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan