AM

UMP usaha kurangkan kebergantungan kepada kerajaan - Naib Canselor

16/11/2019 05:06 PM

KUANTAN, 16 Nov -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan memberi penekanan serius kepada konsep 'Social Enterprise Technological University' bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan pada masa depan. 

Naib Canselornya Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata konsep yang membolehkan mereka lebih berdikari itu telah dijadikan asas dalam pelan strategiknya untuk memacu kecemerlangan dan lebih berdaya saing dengan universiti lain. 

"UMP juga akan terus memperkasa penyelidikan, pembangunan keusahawanan dan pentadbiran yang berintegriti bagi menghadapi cabaran masa depan," katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-14 universiti itu di kampus Gambang di sini, hari ini. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UMP berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis itu, selain mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Maklumat kepada Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib. 

Majlis konvokesyen kali ini melibatkan 3,782 graduan terdiri daripada 2,633 graduan program pra pengajian, 77 ijazah kedoktoran, 158 ijazah sarjana dan 914 program pengajian eksekutif dan profesional di bawah pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education. 

Selain itu, Wan Azhar juga menyatakan komitmen UMP memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memandangkan mereka antara institusi yang dipertanggungjawabkan dalam aspek itu oleh Kementerian Pendidikan. 

"Bagi melaksanakan agenda TVET, UMP telah memulakan proses transformasi organisasi yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti memberi laluan kepada graduan Diploma Vokasional Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di sini," katanya. 

Selain itu, Wan Azhar juga memberitahu UMP tersenarai pada kedudukan ke-271 universiti terbaik dunia dan ketujuh di Malaysia bagi program kejuruteraan serta menduduki tangga ke-741 dunia dalam program kimia, berdasarkan portal berita US News & World Report. 

Katanya pemilihan itu berdasarkan 13 indikator termasuk reputasi kajian kejuruteraan global, reputasi kajian kejuruteraan setempat, penerbitan kejuruteraan, kolaborasi kejuruteraan antarabangsa dan peratusan penerbitan. 

Sementara itu, Mohd Hilmey yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, pada ucapannya menasihatkan graduan untuk bersedia berdepan dengan realiti alam pekerjaan yang begitu berbeza daripada dunia universiti. 

Katanya cabaran alam perkerjaan sama ada dalam dunia korporat, perkhidmatan awam mahupun bidang keusahawanan sangat mencabar yang memerlukan komitmen dan fokus untuk berjaya. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan