ALOR SETAR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan perlu menambah aset baharu yang lebih berteknologi tinggi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengoptimumkan operasi pasukan itu dalam mengekang aktiviti jenayah khususnya pengedaran dadah di negara ini.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata, kerajaan perlu bertindak segera jika tidak mahu negara menjadi hub pengeluaran dadah seperti Colombia, seperti yang dinyatakan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.
“Tidak mustahil negara kita (boleh) menjadi hub pengeluaran dadah kalau kita tak peduli dan hanya bertindak dengan slogan dan juara dalam melaungkan slogan tetapi tidak bertindak secara dinamik dan satu pasukan dan akhirnya kita jadi macam Colombia.
“Kebimbangan KPN itu juga berasas kerana dulu dadah ‘dituai’ secara tradisional tapi sekarang dikhuatiri lebih banyak makmal dadah dibuka.
“Untuk elak semua ini berlaku kerajaan perlu lengkapkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan aset dan logistik termasuklah latihan, perisian, peralatan yang lebih canggih untuk membantu mereka melakukan siasatan dan risikan,” katanya kepada pemberita pada program Cakna Remaja Daerah Kota Setar 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Pada 29 Julai lalu, Abdul Hamid berkata, negara akan menjadi seperti Colombia, selaku negara pembekal dadah terbesar dunia, sekiranya kegiatan dadah tidak dibanteras oleh semua pihak dalam negara ini.
Kebimbangan itu disuarakan beliau apabila sejak Jan lalu seramai 30 warga PDRM sendiri telah ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah khususnya jenis syabu.
Dalam pada itu, Kamal Affandi yang juga penganalisis jenayah berkata, dalam masalah ini semua pihak mestilah bersatu hati seperti bersatunya mereka dalam isu membanteras aktiviti rasuah.
Katanya, MCPF sebagai salah satu organisasi berteraskan pencegahan jenayah kini sedang meneliti semula program-program yang dijalankan agar ianya lebih berkesan dan memberi impak kepada masyarakat.
“Peranan kita bukan sahaja nak lihat kadar jenayah turun, tetapi kita nak melihat jumlah mangsa yang tercedera akibat perbuatan jenayah itu berkurangan, kita mempunyai sasaran yang realistik untuk dicapai dan bukan bombastik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial