EKONOMI

GM Klang yakin prestasi perniagaan lebih baik apabila rentas negeri dibenarkan

01/10/2021 06:35 PM

KLANG, 1 Okt -- Pusat Borong GM Klang yakin dapat mencatatkan prestasi perniagaan yang lebih baik, dipacu kehadiran lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah apabila kebenaran merentas negeri dijangka diberikan kerajaan tidak lama lagi.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata pihaknya kekal positif dengan potensi pusat itu walaupun pembeli terutama daripada kalangan pemborong mengambil langkah berhati-hati dalam membuat pembelian namun trend perniagaan di GM Klang semakin pulih.

“Saya amat berharap, kita akan menerima lebih ramai pelanggan pada pertengahan Oktober, sejajar pengumuman jangkaan pembukaan rentas negeri oleh kerajaan sebelum ini.

“Ini berikutan kebanyakan pelanggan kita adalah dari luar kawasan Lembah Klang selain turut dibantu oleh perkembangan ekonomi dalam negara yang semakin baik,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun GM Klang ke-12 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata tanpa mengambil kira keadaan luar jangka, ekonomi Malaysia diyakini akan kembali pulih dan meningkat lebih baik pada tahun hadapan.

Sempena ulang tahun ke-12 pusat borong tersebut,  Lim berkata pelbagai program dan cabutan bertuah diadakan bagi meraikan pelanggan yang kekal setia dan memberi sokongan terhadap GM Klang.  

“Kita telah melaksanakan ‘Road To Bonaza-12’ bermula Jun hingga Disember ini dengan dua pemenang setiap bulan akan dipilih untuk menerima pakej pelancongan dalam Selangor bernilai RM2,000 dan juga hadiah utama berupa sebuah motosikal,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan aktiviti sempena sambutan ulang tahun ke-12 Pusat Borong GM Klang boleh didapati menerusi laman web, gmklang.com atau media sosial (Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan Youtube) di @GMKlang atau @gmklangofficial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan