AM

Sivarasa, Zunar dan Surendran bebas tuduhan hasutan

30/07/2018 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar  R. Sivarasa, kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar dan peguam N. Surendran dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Sesyen berasingan. Hakim Zamri Bakar dan Hakim Dr Gan Chee Keong membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun, Zaki Asyraf Zubir dan Faizah Mohd Salleh menarik balik  semua pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka.

Sivarasa, 62, yang juga anggota  Parlimen Sungai Buloh didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut pada perhimpunan #KitaLawan di perkarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini pada pukul 5.20 petang, 7 Mac 2015.

Zunar, 56,  pula didakwa atas sembilan pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, pada 3 petang, 10 Feb 2015.

 Surendran, 52, dituduh  menerbitkan artikel bertajuk ?Press Release: Court of Appeal's Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable? di pejabat Malaysiakini.com, No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Brickfields di sini pada 3.40 petang, 18 April 2014.



Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sivarasa diwakili peguam Surendran dan Latheefa Koya manakala  Zunar juga diwakili Surendran dan Latheefa juga bertindak bagi pihak Surendran.

Sementara itu, Hakim Zamri menetapkan 15 Ogos  untuk sebutan semula kes hasutan bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan dan peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen bagi mengetahui keputusan representasi kes tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan