KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) hari ini memeterai perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk menawarkan pembiayaan terjamin kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Wong Kim Choong berkata menerusi perjanjian itu PKS berpeluang mendapat pinjaman bebas cagaran sehingga RM1 juta melalui penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney.
Jumlah itu merupakan dua kali ganda jumlah yang disediakan kepada pelanggan sedia ada di bawah pakej UOB BizMoney. SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.
”Menurut penyelidikan kami, lebih separuh daripada PKS Malaysia menjangka akan meningkatkan pendapatan mereka pada 2018. Walaupun sebahagian besar daripada mereka ingin berkembang ke luar negara, kebanyakan mereka juga merancang untuk melabur dalam infrastruktur teknologi yang dapat membantu mendorong prestasi perniagaan mereka.
“Kami juga membantu PKS meningkatkan produktiviti supaya mencapai pertumbuhan dalam perniagaan mereka. Dengan menyediakan penyelesaian digital berskala, seperti UOB SmartBusiness 4, kami membantu menyelaras dan mengautomasikan sistem dan proses pentadbiran mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata UOB Malaysia turut menawarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan berjangka kepada PKS bagi memenuhi keperluan modal kerja atau untuk membiayai aset tetap.
Penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney menyediakan tempoh pembayaran balik yang fleksibel, iaitu selama 18, 24, 36, 48 atau 60 bulan, dengan kadar faedah yang bermula dari 0.54 peratus sebulan.
Sementara itu, Dr Nungsari Ahmad Radhi, Pegawai Utama SJPP berkata kerajaan komited untuk menyediakan sokongan berterusan kepada PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan.
“Ini termasuk pelbagai skim terjamin kerajaan yang diuruskan oleh SJPP yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 13,000 perusahaan,” katanya.
SJPP adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, yang berperanan untuk mentadbir dan mengurus pelbagai skim jaminan Kerajaan, antaranya Skim Jaminan Modal Kerja, Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri, Skim Jaminan Modal Kerja Rancangan Malaysia ke-10 dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.
Maklumat lanjut mengenai SJPP-UOB BizMoney boleh diperolehi di laman uob.my atau mana-mana cawangan UOB Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial