SUKAN

PERAK LAKAR KEJUARAAN HATRIK BOLA SEPAK SUKMA

19/09/2018 11:38 PM

IPOH, 19 Sept (Bernama) -- Perak melakar kejuaraan hatrik acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) selepas mengalahkan Kedah 2-1 pada perlawanan akhir temasya sukan edisi ke-19 itu, di Stadium Perak di sini, malam ini.

Tampil selaku juara bertahan dalam dua edisi lalu, Perak yang beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong tampak gugup pada awal perlawanan dan hampir ketinggalan melalui sepakan sudut pemain tengah Kedah, Mohamad Hidhir Idris, namun tandukan  rakan sepasukan, Aminuddin Abu Bakar sekadar singgah di palang gol tuan rumah pada minit ke-24.

Kedah sekali lagi mencemaskan kubu pasukan tuan rumah pada minit ke-37, apabila rembatan deras Mohamad Hidhir daripada luar kotak penalti hanya sedikit melewati palang gol yang dikawal Mohamad Nasrullah Abdul Aziz. 

Bersambung babak kedua, skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Chan Wing Hoong akhirnya dibolosi pada minit ke-64, hasil sepakan percuma pemain tengah Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam. 

Bagaimanapun tiga minit berselang, Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil daripada hantaran silang pertahanan kiri, Muhammad Nazirul Afif Ibrahim yang berjaya disudahkan penyerang, Muhammad Alif Safwan Mohd Sallhuddin. 

Gol berkenaan ternyata menyuntik semangat pasukan tuan rumah menggandakan asakan dan pada minit ke-71, penyerang Perak, Muhamad Asyraaf Mat Pushni berjaya mencetak nama selaku penjaring melalui rembatan ke penjuru kanan gol yang dikawal, Muhd Asri Muhamad akibat situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Kedah.

Kedudukan berkenaan kekal sehingga tamat perlawanan walaupun Kedah melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan tuan rumah. 

Sebagai rekod, Perak memenangi acara bola sepak Sukma pada edisi 2014 dan 2016.

Sementara itu, dalam aksi penentuan pingat gangsa, Sabah menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Lumut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan