ALOR SETAR, 22 Sept (Bernama) -- Dalam usaha mendidik pengguna berkaitan isu telekomunikasi dan multimedia, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mengadakan Sketsa “Gags & Coffee 2.0” di sini bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2018.
Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata sketsa edisi kedua yang diadakan itu adalah sebahagian daripada pendekatan CFM menghubungkan pengguna di kawasan setempat dengan isu-isu telekomunikasi yang sering dihadapi pengguna.
"Program berbentuk santai itu bagi mendekati pengguna di Kedah selain memudahkan penonton memahami maklumat dan tips berguna yang boleh diguna pakai mereka dalam kehidupan seharian.
"Selain itu, kita menyarankan pengguna membuat aduan rasmi bagi mendapatkan penyelesaian secara efektif. Sketsa satu jam itu disampaikan pelawak tempatan Ebby Yus dan AG Hafiz (Finalis Lawak Solo) ," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, CFM menerima 199 aduan daripada pengguna di bahagian Utara yang melibatkan masalah rangkaian, bil dan caj, pemberian perkhidmatan, amalan tidak adil dan salah nyata perkhidmatan.
"Aduan tertinggi kita terima dari pengguna di Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang itu melibatkan masalah rangkaian yang mencatatkan 128 aduan, bil dan caj (31), pemberian perkhidmatan (23), amalan tidak adil (11) dan enam aduan berkaitan salah nyata perkhidmatan," katanya.
Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) adalah sebuah forum industri yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang ditubuhkan sejak Februari 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial