POLITIK

Kelangsungan pemimpin politik bergantung perkongsian dalam media sosial

25/09/2018 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Tahap kelangsungan karier politik pemimpin negara ini kini semakin bergantung kepada ‘penceritaan’ dan gambar yang dikongsi menerusi media sosial.  

Pensyarah di Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shafizan Mohamed berkata, perlu diakui, media sosial kini memainkan peranan penting sebagai medium untuk masyarakat mengenali personaliti ahli politik dengan lebih dekat.

"Tanpa media sosial, mereka (pemimpin) seumpama tidak wujud kerana pada masa kini orang ramai mendapatkan maklumat di hujung jari mereka sahaja dan akses utama mereka adalah Facebook, Twitter dan Instagram. Untuk itu, pemimpin juga terpaksa mengikut arus ini bagi memastikan hubungan antara mereka dan pengundi berpanjangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk “Instagram and Political Storytelling Among Malaysian Politician During the 14th General Election” pada Seminar Antarabangsa mengenai Media dan Komunikasi (ISMEC) 2018 - Media Global: Cabaran Masa Kini dan Hadapan di UIAM di sini hari ini.  

Jelasnya, kajian dan pemerhatian yang dilakukan juga mendapati media sosial seperti Instagram rasmi semakin menjadi pilihan pemimpin di pelbagai peringkat dalam mengeluarkan kenyataan terutama jika timbul sebarang isu yang perlu diberi penjelasan. 

"Keadaan ini lebih mudah untuk ahli politik memberi penjelasan yang tepat bagi mengelakkan masyarakat mendapat maklumat yang salah. Sebagai contoh, hanya melalui satu status (kenyataan) di Instagram, sesuatu isu sudah dapat diperjelaskan," katanya. 

Tambah Shafizan, beberapa kriteria berdasarkan analisis yang dilakukannya turut mendapati imej profesional yang berkaitan kerjaya politik, latar belakang dan keluarga sering menarik perhatian pengguna sosial media dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap mesej kempen yang dijalankan. 

"Ini kerana imej-imej khusus yang dipaparkan dalam laman sosial bukan sekadar menonjolkan bagaimana pemimpin itu mahu dilihat tetapi juga sisi lain yang dimiliki olehnya," ujarnya.

Terdahulu, seminar itu dirasmikan oleh Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dengan hadir sama, Professor kanan Jabatan Komunikasi UIAM, Prof Datuk Sri Dr Syed Arabi Idid dan ahli akademik dari pelbagai universiti antarabangsa dan persendirian termasuk Taylor's University Collage, Chulalongkorn University dan Islamic Bandung University. 

Dr Dzulkifli ketika memberi ucaptama berkata, 'Digital Humanities' terutama dalam media yang menjadi platform sebagai penyebar maklumat perlu diseimbangkan memandangkan kebanyakan aspek kehidupan manusia telah 'didigitalkan'.

"Pendigitalan sudah mengambil alih kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan oleh manusia seperti mengajar, membuat kajian malah penerokaan budaya sehingga konsep `saadah' atau kebahagiaan tidak dititikberatkan,”katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan