PORT DICKSON, 29 Sept (Bernama) – Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mempedulikan tindakan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Ketua Umum PKR itu sebaliknya berkata beliau mahu menumpukan kepada kempennya bersama jentera PH untuk meraih sokongan pengundi dan memenangi pilihan raya itu.
“Kita kerajaan PH di bawah pimpinan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kita mahu bantu dia di Parlimen dan saya mahu melihat apa program yang dapat saya lakukan untuk rakyat Port Dickson,” katanya.
Beliau diminta mengulas sama ada penyertaan Saiful Bukhari sebagai calon dalam pilihan raya itu akan membangkitkan kisah-kisah lama antara kedua-dua mereka.
Anwar dan Mohd Saiful Bukhari hari ini diumumkan sebagai calon bagi PRK itu selain lima lagi calon.
Mohd Saiful Bukhari, 33, adalah individu utama dalam kes Liwat II yang menyebabkan Anwar dipenjarakan.
Ditanya mengenai tindakan penyokongnya yang mengejek Mohd Saiful Bukhari ketika pengumuman calon, Anwar berkata beliau akan menasihatkan mereka untuk tidak melakukannya perkara sedemikian.
“Memang mudah untuk saya berkata ‘maafkan dan lupakan saja’ tetapi anda perlu menghargai keprihatinan banyak pihak yang menanggung duka dan derita untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak pasti sama ada saingan tujuh penjuru pada PRK itu akan sengit ataupun sebaliknya dan menjelaskan bahawa walaupun parti pembangkang utama UMNO tidak meletakkan calon, beliau tidak menganggap ia laluan mudah untuknya.
“Saya akan kerja kuat dan saya ucap terima kasih kepada jentera parti dan semua parti dalam PH yang bersama membantu dan kita akan bekerja kuat,” katanya.
Mengenai fokus utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu, Anwar berkata beliau akan menumpukan kepada usaha pembangunan perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan dan menjadikan kawasan peranginan itu lebih menarik.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Okt ini manakala pengundian awal pada 9 Okt.
PRK itu yang diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas yang bertujuan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU ke-14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial