AM

Kajian mansuh hukuman mati di peringkat akhir - Liew

07/10/2018 11:12 AM

SANDAKAN, 7 Okt (Bernama) -- Kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dalam peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Menurut beliau kajian tersebut dilaksanakan oleh pihak Peguam Negara berikutan keputusan kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang dibuat bagi mengikut Standard Antarabangsa berkaitan Hak Asasi Manusia.

"Kajian hukuman mati mandatori ini sudah dalam peringkat akhir dan saya yakin sekiranya sempat kita akan bentang Rang Undang-Undang ini pada hujung tahun ini untuk dimansuhkan atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Malam Mesra Integrasi Sosial Bersama Komuniti di Kampung Karamunting di sini,Sabtu malam. 

Program itu anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan dibawah Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah AADK dengan kerjasama Rukun Tetangga Kampung Karamunting.

Liew yang juga menteri berkaitan undang-undang berkata pelaksanaan hukuman mati mandatori di negara ini membabitkan kesalahan dadah, membunuh dan berkaitan pengganas.

Beliau berkata kajian hukuman tersebut akan mengambil kira pelbagai aspek dalam memastikan hukuman setimpal diberikan kepada pesalah khususnya kerana membunuh dan pengganas.

"Bagi saya secara peribadi, dalam kes dadah ini kadang kala kita terlebih keras terhadap mereka dianiayai atau menjadi keldai dadah tetapi udang-undang kita terhadap sesiapa didapati bersalah mengedar dadah lebih daripada jumlah (Di bawah Sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952) adalah hukuman mati mandatori.

"Saya rasa ia tidak adil kepada mereka dan setakat ini hakim diberikan pengkhususan untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak kepada mereka didapati bersalah dibawah Seksyen 39B ADB 1952," kata Anggota Parlimen Batu Sapi itu.

Menurutnya sekiranya pemansuhan hukuman mati mandatori ini dapat dimansuhkan, tumpuan diberikan terhadap Seksyen 39B ADB 1952 dan hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

"Tetapi bagi jenayah lain seperti membunuh dan pengganas yang menceroboh kedaulatan negara seperti tragedi berlaku di Tanduo Lahad Datu hingga menyebabkan kematian kepada penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan, perkara ini kita kena ambil pertimbangan, " katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan mereka yang ditangkap kerana melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Di negara ini, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi teknik gantung bagi kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan