AM

Awang Raweng gembira jasa dihargai

13/10/2018 08:37 PM

SIBU, 13 Okt (Bernama) – Keberanian yang ditunjukkan Sarjan (B) Awang Raweng ketika menentang komunis pada Mei 1951 di Kluang, Johor semakin dihargai pihak berkuasa dan kali ini oleh kerajaan Sarawak, negeri tumpah darahnya.

Menerima Pingat Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Dato sempena sambutan hari lahir ke-82 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud hari ini, Sarjan (B) Awang Raweng melahirkan rasa gembira jasanya itu dikenang dan dihargai.

"Saya gembira menerima gelaran ini yang boleh menjadi tanda kenangan jasa yang dicurahkan telah dihargai kerajaan,” katanya dengan suara perlahan di dalam bahasa Iban kepada pemberita setelah majlis pengurniaan darjah-darjah kebesaran Sarawak di sini hari ini.

Pada usianya yang telah mencecah 93 tahun, Awang tidak segagah dulu dan kini terpaksa  menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Beliau ditemani oleh Panggau, anak keempatnya dari tujuh adik beradik, dan pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Cawangan Negeri Sarawak Leftenan Kolonel Dunging Serit.

“Saya berasa gembira ayah saya telah menerima gelaran Dato ini. Saya berterima kasih kepada Tun (Abdul Taib) kita kerana telah mengurniakan pingat itu kepadanya,” kata Panggau.   

Dunging berkata, gelaran tersebut sememangnya dinanti masyarakat Iban yang amat bangga dengan keberanian Awang yang dianggap sebagai pahlawan negeri Sarawak.

Seorang pengguna lama Facebook, Francis Ngu Hown Hua melahirkan rasa puas apabila wira yang hampir dilupakan itu mendapat penghargaan.

Francis di antara mereka yang terawal menviralkan di laman sosial apabila Awang terlantar sakit di hospital pada 2015 dan tiada pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan.

“Tidak sia-sia kita viral pasal Awang Raweng semasa beliau sakit di hospital berapa tahun lepas akhirnya jasa beliau dikenang,” katanya di laman Facebook beliau.

Setelah diviralkan, ramai penduduk Sarawak yang mahukan Awang diberikan penghargaan yang sepatutnya termasuk pengurniaan pingat kebesaran negeri.

Awang merupakan Iban Scout yang ditempatkan di Platun Ke-10, Kompeni D, 1 Batalion Rejimen Worcestershire.

Ketika bersama platun seramai 20 anggota menjalankan rondaan di hutan Kluang pada 9.50 pagi 27 Mei 1951, mereka diserang hendap oleh segerombolan 50 pengganas komunis.

Beberapa askar British mati akibat serangan itu dan ketika menyelamatkan prebet G. Hughes yang cedera ditembak,  Awang cedera ditembak pada paha dan lengannya.

Dengan jumlah anggota platun yang telah berkurangan Awang dan rakan-rakannya terus memberikan tentangan sehingga musuh melarikan diri 40 minit kemudian.

Di atas keberaniannya itu, Awang yang kini menjalani kehidupan sebagai ketua rumah panjang di Nanga Skrang, Sri Aman telah dianugerahkan pingat George Cross dari United Kingdom pada 20 November 1951;  selain menerima pingat jubli perak, emas dan berlian sempena Pertabalan Ratu Elizabeth II; Pingat Jasa Malaysia dan ijazah Sarjana Kehormat Pengajian Strategik daripada Universiti Pertahanan Nasional.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan