KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Hukuman mati yang dikenakan ke atas pesalah di negara ini dilihat bukan pencegahan yang berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ia merupakan antara hasil kajian berhubung hukuman mati dijalankan oleh I-CeLLS, satu organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai perunding kajian berkenaan.
Beliau berkata kajian itu juga mendapati hukuman mati tidak boleh diperbaiki atau dipulihkan selepas hukuman itu dijalankan menyebabkan terdapatnya risiko hukuman dilaksanakan terhadap individu yang tidak bersalah.
"Di Malaysia, terdapat kes di mana orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu yang diberikan saksi utama. Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu tersebut, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai justifikasi kerajaan dalam cadangan memansuhkan hukuman mati serta adakah kajian terperinci dilakukan terhadap cadangan tersebut.
Liew berkata pemansuhan hukuman mati itu juga sebagai satu usaha Malaysia untuk mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.
Menjawab soalan tambahan Wee yang menyatakan mengapa kerajaan tergesa-gesa ingin memansuhkan hukuman mati yang menjadi langkah pencegahan kepada jenayah berat, Liew sekali lagi menegaskan ia tidak begitu berkesan.
"Dalam sebegitu banyak kes dadah yang telah dibawa ke mahkamah, ia (hukuman mati) tidak berkesan kerana ada banyak lagi pengedar dadah melakukan kesalahan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pemansuhan hukuman mati tidak akan sewenang-wenangnya membebaskan mereka yang didapati bersalah kerana pesalah masih perlu menjalani hukuman penjara yang setimpal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial