KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) hari ini menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) melibatkan Bank Pembangunan Asia (ADB), Japanese Business Alliance for Smart Energy Worldwide (JASE-W) dan APX Inc.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata menerusi MoU dengan ADB, bank itu akan menyediakan tiga pakar tenaga untuk mengkaji secara menyeluruh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Boleh Diperbaharui (RETR) 2035.
“Selain itu, MoU antara SEDA dan JASE-W pula melibatkan peluang kedua-dua pihak untuk bertukar pengetahuan berkenaan pemuliharaan dan kecekapan tenaga terutama dalam pembangunan bangunan tenaga sifar di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Mou tersebut di sini.
Sementara itu, MoU dengan APX Inc pula bakal mengiktiraf SEDA sebagai pengesah yang dilantik (QRE) untuk pendaftaran ‘Tradable Instrument for Global Renewables Registry’ (TIGRs) yang menyediakan platform bagi perdagangan Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC).
“Kita percaya sijil ini amat penting terutama bagi pasaran antarabangsa dan syarikat multinasional yang ada di sini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yoe mengumumkan pembatalan bagi projek Tarif Galakan yang tidak memberansangkan sebanyak 155 megawatt (MW) dan pelepasan kuota baharu oleh SEDA sebanyak 114 MW melibatkan tarif hidro kuasa kecil 74 MW, biogas 30 MW, dan biojisim 10 MW kepada pemohon yang layak.
“SEDA juga akan melaksanakan e-pembidaan bagi kuota biogas untuk mewujudkan kecekapan harga yang lebih baik bagi tenaga elektrik.
Katanya, e-pembidaan akan diadakan pada 19 Nov dan permohonan boleh dikemukakan di e-FIT (efit.seda.gov.my).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial