ALOR SETAR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini lebih bersifat terbuka untuk mendengar permintaan dan keperluan daripada pemain industri bagi meningkatkan kualiti Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional KPM, Suraimi Rithwan berkata langkah itu bagi membolehkan sistem pendidikan TVET diperkasa sekaligus dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran perkerjaan pelajar lepasan teknikal dan vokasional.
Beliau berkata sejak 2015 pihaknya mengadakan kerjasama dengan 750 pihak industri swasta dan hasilnya lebih 90 peratus pelajar keluaran TVET seperti Kolej Vokasional (KV) berjaya mendapat pekerjaan dan memperoleh gaji antara RM2,000 dan RM15,000 sebulan.
“Ia hasil kerjasama kita dengan pihak industri di mana kita sudah tahu kehendak dan kemahiran jenis apa yang diperlukan mereka. Penglibatan dengan pihak swasta ini kita akan perluaskan dari masa ke semasa,” katanya kepada Bernama pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Persefahaman (NoU) antara Kolej Vokasional Alor Setar dengan pihak industri, di sini, hari ini.
Ia membabitkan tujuh syarikat swasta berasaskan kejuruteraan elektronik dan mekanikal serta dua dari Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan IKBN Jitra, dekat sini.
Turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Alor Setar, Majmin Md Noor.
Katanya antara bentuk kerjasama yang boleh dilakukan ialah menaiktaraf bengkel atau makmal pembuatan serta melengkapkan peralatan yang berteknologi tinggi serta mengadakan latihan perindustrian.
Dalam pada itu beliau meminta agar bidang kemahiran ini dijadikan pilihan utama kerana ia sudah menjadi keperluan atau prasyarat untuk menjadi sebuah negara perindustrian 4.0.
“Sekarang sudah sampai masanya masyarakat menerima bidang kemahiran menjadi bidang utama mereka kerana ia mampu menyumbang kepada pendapatan tinggi, justeru ibu-bapa berilah peluang kedua buat anak-anak yang gagal dalam akademik untuk memasuki insitutsi kemahiran yang mempunyai peluang pekerjaan yang semakin cerah” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial