AM

Pemasangan kerusi bayi dalam kereta diwajibkan tahun 2020

30/10/2018 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian pada tahun 2020, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata sebelum ia dilaksanakan secara mandatori, pihaknya akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019.

"Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia  (dari segi ) tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ke-59, di sini, hari ini.

Katanya pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

"Diharapkan MOF menerima cadangan kami dan sekiranya terdapat sebarang pengumuman positif, kami berharap ia akan diumumkan Jumaat ini,” kata Loke.

Sementara itu, MAT MKJR ke-59 merupakan platform bagi anggota jawatankuasa untuk mengetahui dan menilai pengurusan keselamatan jalan raya pada setiap tahun serta membentangkan cadangan meningkatkan keselamatan jalan raya melalui forum dan sidang pleno.

Antara anggota MKJR yang terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan