AM

Keluarga Bill Kayong kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman mati

09/11/2018 06:42 PM

MIRI, 9 Nov (Bernama) – Keluarga Bill Kayong, yang menjadi mangsa pembunuhan, menyuarakan kekecewaan mereka  tentang cadangan untuk memansuhkan hukuman mati, terutama terhadap individu yang disabitkan kesalahan kerana membunuh.

Anggota Parlimen Miri daripada PKR Dr Michael Teo Yu Keng berkata keluarga Kayong menghantar mesej kepadanya bahawa mereka “tidak bersetuju” dengan cadangan itu kerana ia akan  memberi isyarat silap seolah-olah membunuh bukan suatu kesalahan serius di negara ini.

“Mereka menghantar sendiri mesej itu kepada saya,” kata Dr Teo pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata hukuman mati perlu dikekalkan di negara ini bagi kes pembunuhan  terancang untuk memberi peringatan secara tegas kepada mereka yang bercadang mengambil tindakan dengan menggunakan undang-undang sendiri.

Beliau mencadangkan agar Malaysia mencontohi undang-undang jenayah Singapura, terutama berkaitan hukuman mati.

Bill Kayong, yang menyandang jawatan setiausaha PKR Miri, maut akibat ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart di jalan pintas Kuala Baram pada kira-kira 8.20 pagi 21 Jun 2016.

Pada 10 Ogos 2018, Mahkamah Tingggi Miri menjatuhi hukuman mati terhadap pengawal peribadi, Mohd Fitri Pauzi, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Kayong, nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, apabila Hakim P. Ravinthran mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasbah.

Pada 16 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai  berkata kerajaan akan memansuhkan hukuman mati, walaupun mendapat kritikan daripada keluarga simati.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan