KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Keluarga kepada mangsa bunuh Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Kevin Morais dan Wong Jing Kui memohon kerajaan agar mempertimbangkan pemansuhan hukuman mati mandatori kerana ia tidak memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa Christina Teng berkata hukuman mati diperlukan di negara ini sebagai pelindung kepada masyarakat daripada jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan, aktiviti keganasan dan dadah.
"Jika ia dimansuhkan, perbelanjaan menjaga banduan di penjara akan meningkat. Kadar jenayah pula akan meningkat apabila pelaku jenayah semakin berani membuat jenayah kerana hukuman mati sudah tiada. Hanya dijatuhkan hukuman penjara.
"Lagipun, jika sesuatu pembunuhan berlaku terhadap ahli keluarga kita, mahukah kita melihat pelaku (suspek) hanya dijatuhkan hukuman penjara dan tidak kepada hukuman mati?” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Pada 16 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai berkata kerajaan akan memansuhkan hukuman mati dan ini mendapat kritikan daripada keluarga mangsa bunuh.
Beliau berkata keluarga mangsa juga akan hidup dalam ketakutan kerana pelaku masih hidup dan mampu melakukan semula jenayah sekiranya dibebaskan nanti.
Menurut Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang merupakan mangsa bunuh, keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan hukuman mati terhadap pembunuh ibunya memberikan satu sinar baharu kepada keluarganya untuk meneruskan hidup.
"Bagi saya, pemansuhan hukuman mati ini adalah sangat tidak wajar, kami menunggu hampir tujuh tahun untuk mendapatkan keadilan namun tiba-tiba hukuman ini ingin dihapuskan.
"Kami faham kerajaan ingin mengamalkan sifat keperimanusiaan tetapi tidak adil menjadikan kami mangsa dalam hal ini," katanya dalam nada sebak.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas peguam dan dua pekerja ladangnya kerana membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga pembantunya tujuh tahun lalu.
Sementara itu, abang kepada mendiang Timbalan Pendakwa Raya Datuk Kevin Morais, Datuk Richard Morais berpendapat tidak wajar sekiranya pelaku kes bunuh dibebaskan walaupun telah menjalani hukuman penjara.
Morais yang diculik oleh sekumpulan lelaki ditemui dibunuh dengan kejam dengan mayatnya dimasukkan dalam tong berisi simen.
"Dalam kes bunuh abang saya, pelakunya semua masih muda dalam lingkungan belasan tahun, bagaimana jika hukuman gantung dihapuskan, mereka dibebaskan dan membalas dendam terhadap keluarga kami?" katanya.
Perbicaraan kes bunuh Morais pula masih berlangsung dan lima suspek utama kes itu bakal berdepan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu di Kuching, keluarga mendiang Bill Kayong hari ini turut menyuarakan kekecewaan mereka tentang cadangan memansuhkan hukuman mati, terutama terhadap mereka yang disabitkan kesalahan kerana membunuh.
Anggota Parlimen Miri daripada PKR Dr Michael Teo Yu Keng pada sidang akhbar di pejabatnya berkata keluarga Kayong menghantar mesej kepadanya bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia akan memberi isyarat salah seolah-olah membunuh bukan suatu kesalahan serius di negara ini.
Beliau berkata hukuman mati perlu dikekalkan di negara ini bagi kes pembunuhan terancang untuk memberi peringatan tegas kepada mereka yang bercadang mengambil tindakan dengan menggunakan undang-undang sendiri.
Bill Kayong, yang menyandang jawatan setiausaha PKR Miri, maut akibat ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart di jalan pintas Kuala Baram pada 21 Jun 2016.
Pada 10 Ogos 2018, Mahkamah Tingggi Miri menjatuhi hukuman mati terhadap pengawal peribadi, Mohd Fitri Pauzi, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Kayong, nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah.
Pada 27 Okt lalu, akhbar melaporkan kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman itu kerana masih membuat konsultasi dan kajian mengenainya.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian juga sedang mendapatkan maklumat balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial