AM

MCPF sokong babitkan ibu bapa cegah gejala sosial

10/11/2018 03:26 PM

GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersetuju dan menyokong cadangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar kerajaan menggubal satu undang-undang baharu membabitkan peranan ibu bapa bagi membanteras gejala sosial terutama dadah di kalangan remaja kata Naib Pengerusi Kanannya Tan Sri Lee Lam Thye.

"Masalah gejala sosial terutama dadah di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah membimbangkan dan berdasarkan rekod yang ada sejak Januari hingga September lepas, seramai 1,731 pelajar sekolah dari 36,664 yang diuji air kencing mereka positif dadah.

"Kami harap pihak kerajaan dapat pertimbangkan cadangan AADK untuk gubal undang-undang baharu dengan babitkan peranan ibu bapa sebagai contoh pihak berkuasa memanggil ibu bapa atau penjaga remaja bermasalah untuk mengikuti sesi kaunseling," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Dan Pencegahan Jenayah Serta Dadah Untuk Pelajar Sekolah, di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MCPF Pulau Pinang Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontijen Pulau Pinang Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

Lee berkata demikian mengulas cadangan Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah  mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang baharu dengan membabitkan peranan ibu bapa bagi membanteras gejala sosial terutama dadah dalam kalangan remaja.

Lee berkata peranan ibu bapa dan keluarga dalam usaha membanteras gejala sosial terutama dadah di kalangan remaja sangat penting dan mereka tidak boleh lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa sahaja mengambil tindakan.

Sementara itu, Lee berkata penglibatan pelajar sekolah dan remaja dalam kegiatan jenayah amat membimbangkan serta perlu dilihat secara serius dan masalah berkenaan perlu ditangani segera khususnya oleh ibu bapa serta pengurusan sekolah.

Katanya gejala tersebut boleh memberi impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani secara segera dan berkesan di peringkat awal.

"Perbuatan salah laku dan jenayah seperti mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, memeras ugut untuk mendapatkan wang dan lain-lain perlu dilihat secara serius oleh semua pihak.

Menerusi statistik pada tahun 2017, jenayah melibatkan pelajar sekolah yang direkodkan meliputi kes bunuh sebanyak 18 kes, rogol 220 kes, mendatangkan kecederaan 189 kes, curi 277 kes, curi kereta 14 kes, curi motosikal 498 kes, ragut 4 kes dan pecah rumah sebanyak 136 kes, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan