AM

UMP jana RM3.6 juta melalui perundingan dan khidmat teknikal

10/11/2018 03:52 PM

KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjana RM3.6 juta setakat Oktober lalu menerusi projek perundingan dan khidmat teknikal kepada pihak luar, kata Naib Canselornya Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim. 

Beliau berkata kerjasama anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd juga berjaya memperoleh projek perundingan bernilai RM1.03 juta bagi membangunkan Sistem Pengurusan Kampus di Universiti Automotif DRB Hicom yang terletak di Pekan, dekat sini. 

Daing Nasir menyifatkan tahun 2018 sebagai tahun yang membanggakan dalam aktiviti pengkomersialan universiti apabila sebanyak tujuh teknologi dalam bentuk paten, ciptaan utiliti dan hak cipta sama ada dilesenkan atau dijual terus kepada rakan industri dengan nilai terkumpul RM575,000. 

"Nilai ini adalah 29 kali ganda berbanding nilai perlesenan pada tahun 2017 dan peningkatan mendadak ini adalah hasil usaha berterusan, sokongan padu dan ekosistem inovasi universiti yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu

"Tambah membanggakan apabila kebanyakan produk UMP yang mendapat pembiayaan pengkomersialan ini dibangunkan barisan penyelidik muda dengan bimbingan penyelidik senior universiti yang menunjukkan kelestarian ekosistem inovasi UMP," katanya.

Daing Nasir berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UMP ke-13 di Kampus Gambang di sini hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Canselor universiti. 

Pada majlis itu, seramai 2,773 graduan terdiri daripada 61 penerima Doktor Falsafah, 165 (Sarjana), 221 (Sarjana Eksekutif), 1,753 (Sarjana Muda), 52 (bachelor eksekutif) dan 512 diploma. 

Daing Nasir berkata pada tahun ini, UMP mencatatkan jualan sebanyak RM649,089 melalui enam produk teknologi universiti selain menerima dana penyelidikan kontrak daripada pelbagai agensi berjumlah RM21 juta, setakat Oktober 2018. 

"Usaha UMP dalam memasyarakatkan teknologi juga diteruskan melalui Kajian Penyediaan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai dan Kualiti Air Pahang bernilai RM700,000 daripada Badan Kawal Selia Air Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri," katanya. 

Daing Nasir juga memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan UMP berdasarkan data Tracer Study Kementerian Pendidikan pada masa ini ialah 97 peratus, meningkat daripada 94 peratus pada tahun sebelumnya dan 95 peratus pada 2016. 

Beliau menambah, universiti itu juga dalam usaha mengembangkan capaian sejagat menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai dengan institusi pendidikan tinggi luar negara seperti Jepun, India, Oman, Maghribi, Sudan, Jerman dan United Kingdom. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan