AM

Buku 'The Secret' rahsia kejayaan Joanne

10/11/2018 05:59 PM

KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Buku bertajuk 'The Secret' karya Rhonda Byrne menjadi 'rahsia' Joanne Boon Shan Shan memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-13 di sini, hari ini. 

Boon, 24, yang memperoleh Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Purara Nilai Gred Kumulatif 3.9 berkata buku motivasi itu mengajarnya bahawa apa sahaja yang dimahukan boleh tercapai, asalkan kemahuan itu disatukan dengan usaha bersungguh-sungguh. 

"Ia (kejayaan) tidak mungkin datang begitu sahaja tanpa sebarang pengorbanan dan pada saya, kejayaan memperoleh tujuh Anugerah Dekan sepanjang pengajian adalah kerana ia keinginan mendalam saya. 

"Saya tanamkan tekad yang paling kuat bahawa tiada apa yang mustahil supaya terus berusaha," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis itu di Kampus Gambang di sini hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Boon yang merupakan anak jati Kuching, Sarawak menambah kejayaannya membuktikan penglibatan aktif dalam pelbagai persatuan bukan penghalang untuk tidak cemerlang dalam pelajaran. 

Antara jawatan yang disandang anak pasangan pesara Boon Shoot Fatt, 64, dan Yen Ye Guak, 60, itu adalah bendahari Majlis Perwakilan Pelajar, Timbalan Pengarah UMP Career Fair selama dua tahun dan Pengarah Utilization & Management Perspective of Bauxite Residue. 

Boon yang kini bertugas sebagai penganalisis digital di ibu kota juga menyifatkan pembelajaran di UMP sebagai menyeronokkan kerana kesudian pensyarah membantu segala permasalahan pelajar. 

Sementara itu, pegawai kesihatan dan keselamatan pekerjaan sebuah syarikat pembinaan Mohd Hamdan A. Aziz, 61, menyifatkan kejayaannya memperoleh Sarjana Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran sebagai 'membayar hutang kepada diri sendiri'. 

Mohd Hamdan yang merupakan bapa kepada empat anak dan sembilan cucu berkata beliau bercita-cita untuk memperoleh Sarjana, namun tidak dapat melanjutkan pelajaran semasa muda disebabkan keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan ayahnya sebagai penoreh getah. 

"Saya tak mampu untuk belajar masa muda sebab susah tapi niat untuk memiliki Sarjana ada... bila sudah bekerja dan ada pendapatan sendiri, saya cabar diri untuk capai impian itu.

"Sebelum menyambung pelajaran, saya ada menyuruh salah seorang anak untuk dapat Sarjana, tapi dia tak mahu kerana katanya sudah penat belajar. Jadi saya fikir, jika anak tak mahu, apa salahnya ayah yang sambung belajar," katanya. 

Mohd Hamdan yang berasal dari Johor Bahru, Johor juga berkata ijazah itu juga hadiah kepada isteri Rohani Mohamad, 61, yang tidak putus-putus memberi semangat kepadanya supaya tidak berputus asa dan faham bahawa setiap hujung minggu selama dua tahun adalah ‘hari kelas’.

"Bukan mudah sebenarnya kerana saya perlu mengikut rentak orang muda yang lebih cepat, saya tidak boleh lemah semangat sebaliknya perlu setanding dengan mereka supaya dapat menimba ilmu," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan