AM

142 lokasi di Selangor dijangka berlaku banjir lebih kerap

12/11/2018 06:31 PM

SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) – Banjir dan banjir kilat dijangka berlaku lebih kerap di 142 kawasan di Selangor berikutan fenomena Monsun Timur Laut bermula bulan ini sehingga penghujung Mac depan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, keadaan itu berlaku disebabkan penerimaan jumlah hujan antara 210 milimeter (mm) sehingga 310 mm sepanjang tempoh berkenaan.

“Sebanyak 142 kawasan di beberapa daerah di seluruh Selangor dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan banjir kilat sepanjang tempoh itu.

“…dan susulan situasi itu kita telah maklumkan kepada semua daerah agar tindakan penyelenggaraan diambil dengan lebih sistematik termasuk melibatkan Jabatan Perparitan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kawasan terbabit ialah  Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam; Pekan Ijok, Kuala Selangor; Kampung Sungai Tua, Gombak dan bekas tapak Plaza Tol Sungai Rasau, Klang.

Beliau berkata, dari aspek logistik pula, sebanyak 453 aset bersedia digerakkan antaranya melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV), lori, bot dan pelbagai jentera lain daripada Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, menurut Ahmad Fairuz, sebanyak 536 pusat pemindahan banjir akan dibuka di negeri ini sekiranya berlaku bencana banjir di lokasi terbabit.

“Setakat ini kita  bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi fenomena tersebut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan