AM

CFM anjur kss dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bincang isu-isu pengguna

19/11/2018 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) telah menganjurkan Sesi Perkongsian Maklumat Industri (KSS) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan persatuan pengguna pada 15 hingga 16 Nov lepas untuk bertukar maklumat dan membincangkan isu-isu yang dihadapi pengguna.

Program KSS CFM bersama industri ini merupakan edisi keempat dijalankan oleh CFM dalam masa empat tahun berturut-turut sejak dari tahun 2015 dan menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu pengguna dalam industri komunikasi termasuk liputan perkhidmatan fiber di seluruh negara serta isu kontrak dan harga.

“Program KSS bersama wakil-wakil industri ini adalah salah satu inisiatif CFM yang merupakan edisi berbeza dengan program KSS yang dijalankan bersama pengguna. Program ini lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha dan perbincangan intelektual bersama wakil-wakil industri dan persatuan pengguna bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan terhadap isu yang membelenggu para pelanggan syarikat telekomunikasi dan multimedia di seluruh Malaysia.

“Melalui program ini, CFM dapat mengetahui punca sesuatu masalah dan membincangkan cadangan penyelesaian terbaik untuk sesuatu permasalahan tersebut,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal  Yusoff dalam satu kenyataan pada hari ini.

Program berbentuk sesi dialog ini dihadiri seramai 70 orang wakil industri yang antaranya adalah kakitangan pengiklanan dan pemasaran industri, pembangunan produk, perkhidmatan pelanggan, pegawai pengawal selia, dan wakil persatuan-persatuan pengguna.

Antara isu yang paling hangat dibincangkan ialah mengenai liputan rangkaian 4G yang tidak terdapat di beberapa tempat di Malaysia sungguhpun mempunyai papan iklan yang memaparkan perkhidmatan 4G di kawasan tersebut.

Selain itu, isu yang turut diperdebatkan adalah perikatan kontrak baharu jika pengguna ingin menaik taraf perkhidmatan jalur lebar, kemudahan untuk pengguna membuat perubahan dalam pelan dan juga isu perkhidmatan mel suara.

Beberapa cadangan diutarakan dalam menangani isu-isu ini antaranya ialah mencadangkan pihak penyedia perkhidmatan agar menyediakan perkhidmatan untuk pengguna melakukan penamatan servis, menaik atau menurun taraf secara digital sama ada melalui aplikasi mudah alih atau laman web. 

Manakala bagi isu rangkaian 4G, dicadangkan agar satu nombor hotline diletakkan pada papan iklan atau risalah iklan Telco agar pengguna dapat terus melaporkan sebarang iklan yang tidak menepati keperluan atau mengelirukan.

Tambah Mohamad Yusrizal melalui program perkongsian maklumat ini, CFM berharap agar penyedia perkhidmatan dapat mengamalkan etika yang baik mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan