CYBERJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Crypto Valley Malaysia (CVM) memeterai Memorandum Persetujuan (MoA) untuk melaksanakan penggunaan teknologi ‘blockchain’ dalam industri automotif.
Kerjasama antara MAI dan CVM, persatuan teknologi terkenal bagi ‘blockchain’ dan komuniti teknologi pesat hibrid Malaysia, akan mendorong empat usaha serta-merta bagi manfaat pengguna, usahawan dan perlindungan alam sekitar.
MoA itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari dan Pengasas Bersama CVM, Koh How Tze.
Madani berkata antara empat usaha itu adalah memastikan pengedaran komponen tulen secara teratur melalui pengwujudan identiti digital dalam memastikan alat anti tulen diedarkan secara tersusun dalam ekosistem automotif.
Melalui usaha itu, nilai alat ganti akan ditentukan oleh komuniti untuk memastikan harga barangan menepati piawaian pasaran, sekali gus menjamin keselamatan dan perlindungan kepentingan pengguna, katanya selepas menandatangani memorandum itu di sini, hari ini.
Tiga usaha lain adalah mengetengahkan reputasi ekonomi bagi sektor selepas jualan dan servis; menyediakan ‘e-hailing’ alternatif bagi transformasi teksi serta mengurangkan pelepasan karbon dalam kalangan kenderan komersial.
Mengenai reputasi ekonomi, Madani berkata ia membentuk satu ekosistem dengan sektor selepas jualan dan servis akan berasaskan penarafan dalam talian tidak berpusat oleh pengguna akhir.
Beliau berkata, penarafan ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi perbandingan kualiti lebih baik melalui struktur pengkalan data dipacu pengguna yang terpakai kepada banyak aspek dalam sektor selepas jualan dan servis.
Teknologi ‘bloackchain’ tidak berpusat itu akan memberi manfaat kepada pasaran perkongsian perjalanan dari segi keselamatan, ketelusan dan menyediakan bukti semasa pertikaian resolusi.
Penumpang juga akan meraih manfaat daripada rangkaian pemandu yang luas, menerima token tambahan menerusi cadangan berasaskan pengguna dan meningkatkan saringan pemandu dalam rangkaian.
Madani berkata dengan mewujudkan pemprofilan digital khusus bagi kenderaan komersial, usaha pengurangan pelepasan karbon juga akan membolehkan penambahbaikan pengiraan kadar pelepasan karbon melalui penggunaan teknologi ‘blockchain’, yang seiring dengan penggalakan kenderaan cekap tenaga dan Dasar Automotif Kebangsaan.
“Kami membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk membangunkan platform ini dan berharap menjelang suku pertama 2019, beberapa peringkat usaha ini boleh dimulakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial