KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Semua premis makanan telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa pukul 12 tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tinjauan Bernama di ibu kota, sekitar Kampung Baru, Datuk Keramat dan Jalan Tunku Abdul Rahman pagi ini mendapati masih ada yang mengingkari larangan berkenaan.
Malah mereka juga turut merokok kurang daripada jarak yang telah ditetapkan oleh KKM iaitu tiga meter daripada sebuah premis makanan beroperasi.
Selain itu, tidak banyak papan tanda larangan merokok dipasang di premis-premis makan sekitar kawasan itu.
Pelayan wanita sebuah kedai makan, Anisah Amin, 20, berkata masih ramai yang datang ke gerainya yang dibuka seawal 7 pagi, merokok terutamanya selepas selesai makan pagi dalam jarak larangan tidak dibenarkan merokok.
Mungkin larangan itu masih di peringkat awal dan pelanggan lupa bahawa hari ini bermulanya perwartaan larangan merokok.
“Kita nak nasihat pun tak sedap juga terutama pelanggan yang tidak kenal, tapi kalau pelanggan tetap memang pesanlah,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata orang ramai diminta untuk tidak merokok di mana-mana tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak berhawa dingin.
Ini termasuklah di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera. Ia meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.
Tambah Noor Hisham, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Di BUTTERWORTH, juga masih ada segelintir perokok dilihat seolah-olah tidak menghiraukan arahan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan apabila mereka dengan 'selamba' melakukan perbuatan itu di kawasan berkenaan.
Seorang pekerja swasta, Zainor Azman, 56, mengakui sememangnya beliau tidak sedar mengenai larangan itu yang telah bermula hari ini dan mendakwa masih terlalu awal untuk melihat keberkesanan larangan itu kerana belum ada tindakan dikenakan kepada mana-mana perokok yang melanggar peraturan itu.
Tinjauan Bernama di sebuah restoran Nasi Kandar di Bagan Jermal, di sini mendapati terdapat perokok yang merokok sewenang-wenangnya walaupun terdapat papan tanda 'Larangan Merokok' di premis berkenaan.
Bagaimanapun, di JOHOR BAHRU, tinjauan Bernama di premis makanan sekitar bandar raya itu mendapati rata-rata pelanggan serta pemilik premis makanan mematuhi larangan itu dan menyokong tindakan yang diambil kerajaan.
Bagi Mohd Helimi Walad, yang berniaga sarapan pagi di Majidee Baru selama tujuh tahun itu, ia adalah langkah positif kerana bukan setakat membantu mengekang tabiat merokok di tempat awam malah memberi keselesaan kepada pelanggan lain.
"Setakat ini tiada masalah dan semua mematuhi arahan yang dikeluarkan," katanya, yang turut menyediakan meja di ruangan merokok kepada pelanggannya bagi memudahkan mereka yang merokok tanpa menganggu keselesaan pelanggan yang lain.
Di KOTA BHARU, rata-rata pemilik restoran dan premis makanan di sekitar bandar ini telah menampal tanda larangan merokok di samping memberi peringatan kepada pelanggan agar mematuhi peraturan baharu itu.
Pekerja restoran Nasik Kak Wook, Siti Hidayah Salamun, 36 berkata: "Ada segelintir pelanggan yang mungkin perokok tegar kelihatan teragak-agak untuk merokok dan apabila dingatkan tentang larangan merokok di dalam kedai mereka dapat menerimanya dengan terbuka".
Pelanggan, Amira Wahab, 38, berkata larangan merokok di premis makanan memberi keselesaan kepada anak-anaknya dan wanita hamil sepertinya.
Sementara itu, seorang perokok yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 52 berkata larangan merokok di premis makanan adalah wajar dan perokok masih boleh merokok di kawasan lain.
Di KUANTAN, tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan makanan di sini, mendapati kebanyakan perokok dilihat keluar daripada kawasan restoran jika mahu merokok selepas makan.
Bagi pengurus Restoran Ikhwan cawangan bandar Kuantan Aisyah Kamat, 46,: "Kami memang sudah melarang pengunjung menghisap rokok di dalam kedai sejak tiga tahun lepas dan hanya meja di luar sahaja yang dibenarkan. Hari ini, mereka yang duduk di luar juga tahu mereka tidak lagi dibenarkan merokok di situ.
"Larangan merokok membolehkan lebih ramai pengunjung berasa selesa untuk menikmati makanan, selain tiada lagi kesan habuk rokok di lantai," katanya.
Pengurus sebuah restoran mamak di sini, Sulaiman Kamaludin, 46, pula bersyukur kerana mereka yang berkunjung ke restoran itu hari ini, sedar dengan perintah larangan itu walaupun majoriti pengunjung adalah perokok.
Sulaiman secara berseloroh menambah kerja mereka juga lebih ringan pada masa kini, kerana tidak perlu lagi membersihkan tempat abu rokok selain 'pandangan mata lebih menarik tanpa putung rokok di lantai'.
Bagaimanapun, pekerja swasta Mazahari Mahadi, 38, berkata beliau masih berharap kelonggaran diberikan kepada beberapa restoran terutamanya kedai mamak yang majoriti pengunjungnya adalah golongan lelaki dan remaja.
"Mungkin kerajaan boleh laksanakan dua zon di restoran yang membolehkan mereka yang tidak merokok atau membawa anak kecil, duduk di bahagian larangan merokok," katanya.
DI KOTA KINABALU, Meskipun penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan berkuatkuasa hari ini, namun masih terdapat beberapa premis yang tidak menampal tanda amaran itu.
Bagaimanapun tinjauan Bernama mendapati pengunjungnya tidak merokok malah hanya santai sambil menikmati hidangan mereka.
Bagi pengusaha restoran Fazri Mohamad, 56, berharap penguatkuasaan itu dapat memberi kesan yang positif dalam usaha meningatkan taraf kesihatan masyarakat.
Di Sandakan, kebanyakan pengunjung premis makanan mematuhi larangan merokok di premis di sekitar daerah itu dan begitu juga di Tawau.
Namun terdapat golongan remaja yang tidak segan silu merokok di kawasan awam dan mendakwa larangan itu hanya di restoran dan premis makanan.
Di SEREMBAN, pemilik restoran pemilik Shafiq Lee Restoran, Shafiq Lee Abdullah, 40, berkata sejak perniagaannya dibuka pukul 10 pagi tadi, tiada pelanggan yang merokok di dalam dan perkarangan restoran.
“Mulanya saya risau juga pelanggan berkurangan, tetapi setakat pukul 2.00 petang tadi, pelanggan tak berkurang. Jika ada pelanggan atau pekerja yang melanggar larangan ini dengan sengaja atau tidak, pihak kami akan menegur,” katanya.
Bagi remaja Nur Syafiq Azwan;“Kita mahu makan di tempat yang selesa jadi kalau ada yang merokok di dalam restoran, ia bukan sahaja membahayakan kesihatan malah mengotorkan tempat dengan puntung-puntung rokok yang bertaburan di bawah meja”.
Sebagai usaha menyokong pelaksanaan larangan merokok ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohd. Taufek Abd. Ghani meluangkan masa meninjau situasi di kedai makan sekitar Senawang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam negeri dan Pejabat Mufti negeri untuk memasukkan larangan merokok ini di dalam khutbah-khutbah Jumaat.
Di ALOR SETAR, seorang pengusaha gerai makanan Ismail Mohamad berkata beliau belum menampal notis larangan merokok kerana peraturan itu masih baharu namun akan berbuat demikian kemudian.
"Kita tengok keadaan dulu sebab kita berniaga kedai kecil sahaja, pelanggan pun memang ramai yang merokok," katanya kepada Bernama.
Seorang perokok di premis itu yang enggan dinamakan pula berkata, walaupun peraturan itu dikuatkuasakan hari ini namun tiada pemantauan oleh pihak berkaitan dilakukan, menyebabkan perokok tidak takut untuk menghisap rokok di premis makanan.
Tinjauan turut dibuat ke premis makanan di kawasan luar bandar iaitu di daerah Pendang di mana rata-rata pengusaha menyambut baik langkah kerajaan itu demi menjamin kebersihan dan kesihatan pelanggan.
Seorang lagi peniaga Jamaludin Abdullah, 60 berkata, buat masa ini masih ada segelintir pelanggan yang tidak mengendahkan arahan itu kerana terbiasa dengan tabiat merokok.
Tinjauan di PADANG BESAR pula mendapati larangan merokok di tempat awam dan kedai makan mendapat sambutan positif masyarakat umum dan peniaga.
“Peraturan ini wajar dikuatkuasakan untuk mendidik perokok menghormati hak orang ramai supaya persekitaran tempat makan dan tumpuan orang ramai bersih dari asap rokok,” kata seorang pegawai kastam, Azmi Said.
“Mulut perokok biasanya berbau (busuk). Saya sendiri tidak selesa berurusan dengan orang yang mulutnya berbau rokok,” kata Azmi, 59, semasa ditemui Bernama di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, hari ini.
Tinjauan BERNAMA di kawasan kedai makan terutamanya di Padang Besar dan di Kangar mendapati hampir tiada orang merokok walaupun papan tanda larangan merokok tidak ditampal.
Sementara itu di Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri akan melancarkan operasi ‘Merokok Tempat Awam’ bersama Majlis Perbandaran Kangar esok.
Di LUMUT, pengusaha kedai makan Baharuddin Abdullah, 57, menyifatkan larangan itu adalah langkah yang tepat, dan baginya kebersihan di gerai makanannya juga akan terjamin dengan larangan itu.
“Malah, kadang-kadang terdapat pelanggan yang menyuruh saya membersihkan lantai hanya kerana habuk dan puntung rokok dan kini saya tidak perlu risau lagi mengenai masalah itu,” katanya yang telah berniaga di Seri Manjung hampir 10 tahun.
Di KUALA TERENGGANU, 283 pegawai penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri membuat pemantauan larangan merokok di tempat makan seluruh negeri, melibatkan 6,239 premis makanan termasuk, restoran, gerai makan dan penjaja.
Pengarahnya Dr Mohd Jusoh berkata taklimat berkaitan larangan itu dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan 667 pengusaha tempat makan bermula Okt lalu, dan pihaknya juga mengedar risalah berkaitan penguatkuasaan larangan merokok melalui Pejabat Kesihatan Daerah secara berperingkat dan setakat ini 4,000 risalah dibekalkan untuk agihan.
Seorang pelanggan kedai makan yang ditemui Fatimah Mohd Yatim, 72, berkata beliau pernah dimarahi perokok ketika meminta tidak berbuat demikian di restoran ekoran duduk di meja bersebelahan, walaupun permintaan disampaikan secara baik.
“Eloklah merokok ini dilarang. Warga emas kadang-kadang berdepan dengan pelbagai risiko meskipun dengan asap rokok. Bayangkan di saat mahu menjamah makanan tiba-tiba kita akan jadi sesak nafas dan batuk apabila asap rokok menghampiri.
Seorang lagi, Ngah Mohamad, 40, berkata meskipun larangan itu sukar diterima pada peringkat awal tetapi beliau yakin lama kelamaan orang ramai akan akur serta wujud kesedaran tentang kesihatan.
Katanya beliau pernah merokok selama lima tahun, kemudiannya berhenti secara perlahan-lahan selepas kematian abangnya akibat penyakit paru-paru.
“Abang saya memang perokok tegar. Saya kini menjaga tiga anak abang saya. Saya terfikir tentang diri sendiri selepas kematiannya dan tidak mahu dua anak saya pula menjadi anak yatim. Saya akui perokok bukan hanya membahayakan diri sendiri tetapi juga orang lain,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal dalam satu kenyataan malam ini berkata Jabatan kesihatan negeri memeriksa 319 premis makanan dan mengeluarkan 22 notis amaran terhadap premis itu yang tidak mematuhi arahan merokok di kawasan larangan, yang berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata setakat pukul 3.00 petang tadi, selain pemeriksaan dan mengeluarkan notis amaran di tempat makan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut mengedar 957 risalah berhubung kawasan larangan merokok serta memberi nasihat kepada individu.
Bagi semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas, mereka boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini dilaporkan berkata pihak kementerian akan menggunakan pendekatan pendidikan dan penerangan holistik dalam tempoh enam bulan pertama larangan merokok di premis makanan, dan selepas itu, barulah mengenakan tindakan denda terhadap perokok yang masih ingkar.
Menurutnya ia adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa bagi membolehkan orang awam dapat lebih memahaminya sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial