SUKAN

HAFIZ KAMAL SAH SARUNG JERSI PKNP FC MUSIM DEPAN

03/01/2019 06:40 PM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 3 Jan (Bernama) -- Bekas pemain Perak, Mohd Hafiz Kamal mengesahkan dirinya bakal beraksi bersama skuad PKNP FC bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2019.

Beliau berkata keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan kontraknya bersama Perak yang berakhir Disember lalu tidak diperbaharui oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

"Kalau ikutkan hati memang masih di Perak, namun selepas perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan dan dengan beberapa syarat yang diletakkan, saya fikir jodoh saya dengan pasukan tak panjang.

"Jadi, itu yang menyebabkan saya ambil keputusan untuk bersama pasukan PKNP selain peluang untuk mendapat lebih minit beraksi di atas padang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Hafiz yang merupakan anak jati Pantai Remis menyertai Perak sejak 2017 selepas beraksi selama semusim bersama pasukan Selangor.

Bagaimanapun, aksinya bersama Perak agak terhad selepas terpaksa berehat lebih setahun sejak awal September 2017, akibat kecederaan lutut kiri yang dialami pada sesi latihan menjelang perlawanan suku akhir pertama menentang Pahang dalam kempen Piala Malaysia.

Mohd Hafiz berkata beliau berharap penyertaannya ke dalam skuad PKNP FC akan memberi sinar baru selain berazam untuk kembali merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak pengurusan PKNP yang sudi menerima kehadiran saya ke dalam pasukan dan saya harap dapat membantu pasukan ini dalam mengharungi liga pada musim depan," katanya.

Sementara itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata kontrak Mohd Hafiz bersama pasukan akan dimuktamadkan pada minggu hadapan selepas perbincangan dilakukan dengan pihak pengurusan.

"Kita kemungkinan ikat (kontrak) dia setahun, namun apa pun kita kena tunggu perbincangan kedua-dua pihak dan saya rasa perkara ini akan selesai selewat-lewatnya minggu hadapan," katanya.

Beliau berkata penyertaan Mohd Hafiz dalam pasukan dilihat mampu memberi tonik tambahan sekali gus merealisasikan harapan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok enam teratas Liga Super 2019.

Katanya, pengalaman pada Mohd Hafiz juga boleh digunakan bagi mengetuai pasukan yang diketahui rata-rata dibarisi pemain muda.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Bakar berkata selain Mohd Hafiz, PKNP FC turut berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Felda United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri bagi mengisi kekosongan yang terdapat dalam pasukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan