PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjenamakan semula syarikat pemberi pinjaman wang (PPW) bagi menghakis persepsi negatif masyarakat yang mengumpamakan PPW sebagai sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen atau along.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata langkah itu dilihat perlu bagi menarik masyarakat, khususnya peniaga kecil menggunakan khidmat syarikat PPW.
"Walaupun prestasi syarikat PPW yang diberi lesen oleh KPKT adalah baik, persepsi negatif telah menyebabkan masyarakat atau peniaga kecil tidak tertarik untuk membuat pinjaman,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPKT, di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan penerangan Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai, penjenamaan semula itu dapat dilakukan selewat-lewatnya Jun ini.
Menurutnya pada masa ini terdapat kira-kira 3,900 syarikat PPW yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah dan syarat berbeza berbanding institusi kewangan lain termasuk bank.
"Kita mahu rakyat sedar PPW adalah sah di sisi undang-undang, menawarkan kadar pinjaman tanpa had dan urusannya tidak memerlukan dokumen yang banyak sebagaimana syarat bagi institusi kewangan atau bank komersil lain," katanya, menambah syarikat PPW telah beroperasi sejak Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai ditubuhkan pada 2007.
Sementara itu, Zuraida berkata pihaknya sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia berhubung kelonggaran untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) membuat pinjaman perumahan.
Katanya ini seiring dengan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan B40 memiliki rumah sendiri seperti menetapkan harga tidak melebihi RM300,000 seunit selain pengenalan kaedah sewa beli.
Zuraida berkata usaha merangsang pemilikan rumah melalui Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019 akan dimulakan dengan pameran besar-besaran sektor hartanah pada Mac depan di Kuala Lumpur.
Pameran selama tiga hari bermula 1 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu akan menghimpunkan 180 pemaju hartanah dengan setiap pembelian diberikan diskaun 10 peratus, katanya menambah kali terakhir kempen seumpama diadakan ialah pada 1998.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial