AM

NFCC beroperasi sepenuhnya menjelang Jun tahun ini

11/01/2019 08:05 PM

PUTRAJAYA, 11 Jan (Bernama) -- Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Jun tahun ini, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini.

Beliau berkata pada masa ini GIACC sedang menggubal dan meneliti setiap butiran pusat tersebut sebelum membentangkan rang undang-undang penubuhan NFCC kepada Parlimen.

NFCC, satu daripada inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP), akan bertindak sebagai pasukan petugas apabila semua agensi berkaitan akan bertugas di satu tempat dan menyelaraskan usaha ke arah mencegah aktiviti jenayah.

"Sebagai contoh, setiap tahun negara kita mencatatkan kehilangan hasil sebanyak RM8 bilion akibat penyeludupan rokok dan alkohol. Bagi Jabatan Kastam, ia hanya penyeludupan. Tetapi, untuk menyeludup sesuatu, penyeludup akan memberi sogokan, menggunakan kumpulan mafia, mengelak cukai dan melakukan beberapa transaksi bank yang mencurigakan.

"Apabila kita duduk semeja dengan semua agensi dan membawa semua elemen bersama-sama, maka barulah kita dapat melihat gambaran sebenar aktiviti jenayah," katanya dalam sesi taklimat dengan editor kanan mengenai NACP di Perdana Putra di sini hari ini.

NFCC, akan terdiri daripada beberapa agensi seperti Kastam Diraja Malaysia (KDM), Jabatan Imigresen, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebagai sebahagian daripada proses penggubalan rang undang-undang, Abu Kassim berkata pasukannya akan ke Australia dan United Kingdom untuk mempelajari tentang bagaimana untuk menggubal undang-undang secara sah dan mengkaji model perniagaan mereka.

"Apabila saya melawat Washington selepas insiden 9/11, pihak Amerika Syarikatb menyedari bahawa agensi mereka beroperasi di silo dan menubuhkan Washington Target Center yang terdiri daripada 26 agensi. Oleh kerana semua pihak berkongsi maklumat dan  menjangkakan potensi ancaman, siasatan adalah lebih efektif.

"Bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dan saya telah menubuhkan pasukan petugas yang sama mengenai kes-kes penyeludupan dan ia terbukti berkesan.

Tetapi selepas kami berundur, ia telah disalahgunakan dengan penentang politik menjadi sasaran," katanya dan menambah skop tugas NFCC tidak akan bertindih dengan SPRM, dan akan mempunyai jawatankuasa pengawasan untuk memberi arahan mengenai siasatan itu untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Mengenai NACP, Abu Kassim berkata pelan itu merangkumi 115 inisiatif dengan enam strategi dan enam bidang keutamaan yang memperincikan dengan usaha keseluruhan kerajaan bagi menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, akan dilancarkan pada 29 Jan di Putrajaya.

"Visi kami adalah untuk mewujudkan negara bebas rasuah untuk menjunjung kedaulatan undang-undang, untuk menambahbaik kecekapan kerajaan, ketelusan dan akauntabiliti berdasarkan tadbir urus yang baik, dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih.

"Pelan ini merangkumi beberapa dasar penting dan elemen penting, termasuk manifesto kerajaan Pakatan Rakyat (PH) dalam memerangi rasuah. Kita melihat beberapa negara mempunyai dokumen yang sama. Oleh itu, Malaysia perlu mempunyai inisiatif berstruktur dan dokumentasi yang bertindak sebagai rujukan utama dalam usaha memerangi rasuah, " katanya.

Menurut Laporan Global Financial Integrity (GFI), Malaysia kerugian kira-kira US$431 bilion (RM1.8 trilion) dalam pengaliran keluar secara haram wang antara tahun 2005-2014.

Abu Kassim berkata 22 inisiatif yang perlu diberi keutamaan yang secara tidak langsung menyumbang kepada tahap rasuah yang tinggi di negara ini termasuk memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengawal Pembiayaan Politik termasuk melobi; untuk memperkenalkan sistem pengisytiharan aset yang sewajarnya untuk anggota pentadbiran dan anggota Parlimen dan untuk memperbaiki dasar mekanisme berhubung menetrima hadiah, keraian dan pembayaran oleh anggota pentadbiran.

Ketika ditanya sama ada “bodek” boleh dianggap sebagai amalan rasuah, Abu Kassim berkata: "Ia bergantung pada jenis bodek, sama ada ia melibatkan wang atau produk.” 

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan