Sepakan bebas safawi selamatkan maruah Malaysia [ 1h ago ]

SWRC, KWSP lancar buku, beri makna baharu kepada idea lama persaraan

Tarikh kemaskini: 15/01/2019
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) – Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya (SWRC) hari ini melancarkan buku berjudul ‘Who Says I Am Retired’, sebuah kompilasi autobiografi mini menampilkan ahli akademik, pemimpin korporat dan penjawat awam kanan terkenal yang memberi makna baharu kepada idea lama masyarakat mengenai persaraan.

Buku itu merupakan hasil kerjasama antara Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan SWRC, bertujuan menerajui kerja penyelidikan, mendidik serta menyebar luas pengetahuan berasaskan bukti mengenai keselamatan sosial, usia tua dan jaminan kewangan.

Pengarah SWRC, Prof Datuk Norma Mansor, berkata personaliti terkemuka ditampilkan itu, semuanya jauh melepasi usia persaraan rasmi 60 tahun, menulis autobiografi mini mereka yang amat bermakna.

Selain itu, mereka juga menghasilkan gabungan esei dan artikel untuk berkongsi pandangan mengenai makna pekerjaan kepada mereka di samping motivasi untuk kekal aktif dalam kerjaya dan sosial di sepanjang usia emas masing-masing.

“Banyak kajian mengenai masyarakat moden di dunia barat mendapati bahawa terma ‘persaraan’ sebenarnya tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Hari ini, anggota masyarakat ini menghargai kebebasan untuk mencapai impian masing-masing. Mereka memanfaatkan peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan menikmati kepuasan dengan melihat hasil kerja mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku tersebut di sini, hari ini.

Menerusi projek buku tersebut, yang bermula pada 2015, SWRC mendapati Malaysia berdepan situasi yang hampir sama, sedang mengalami perkembangan persepsi kerjaya memandangkan terdapat komuniti aktif yang mencapai umur persaraan rasmi namun masih terus menyumbang dan terlibat secara produktif kepada masyarakat.

Dalam kalangan pesara yang mempunyai simpanan yang mencukupi atau pencen manfaat yang ditakrifkan, ada juga mereka yang terus menyertai aktiviti sosial secara aktif dan menambah kemahiran baharu.

“Menjelang 2040, akan terdapat 6.3 juta rakyat Malaysia berusia 60 dan ke atas. Memandangkan Malaysia akan mengalami populasi yang semakin berusia, wujud keperluan bagi menggalakkan golongan semakin meningkat usia ini untuk aktif dan produktif bertujuan mengoptimumkan sumber manusia ke arah mengekalkan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu