AM

Sultan Pahang, Agong Malaysia ke-16

25/01/2019 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, sekaligus meneruskan keunikan sistem penggiliran dalam kalangan Raja-Raja Melayu yang kini dalam pusingan kedua.

Pengumuman itu dibuat selepas semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, bersidang dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara untuk menentukan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu hari ini.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung pada 31 Jan ini di Istana Negara.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lalu di Istana Abu Bakar, Pekan, selepas Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar disahkan gering.

Penggiliran kali pertama pe­lantikan Yang di-Pertuan Agong adalah berdasar kekananan takhta pemerintahan, bermula dengan Nege­ri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak yang berakhir pada 1994.

Konvensyen itu terus dijadikan panduan dalam penggiliran kedua yang menyaksikan enam daripada sembilan Raja-Raja Melayu telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, dan meletakkan nama Sultan Abdullah sebagai calon yang dijangka menaiki takhta tertinggi negara dalam penggiliran kali ini.

Pemilihan baginda mendapat perhatian seluruh rakyat yang menyembah ucapan tahniah dan ungkapan Daulat Tuanku melalui pelbagai platform termasuk media sosial.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah.

Turut merafak sembah tahniah adalah pemimpin negara dan negeri antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohammad Sabu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong juga mendapat reaksi penggiat sukan negara yang menyifatkan pemilihan baginda mencatat sejarah bermakna buat arena sukan tanah air.

Sultan Abdullah dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan terutamanya bola sepak apabila pernah menjadi Presiden FAM bagi tempoh 2014 hingga 2017. Baginda juga pernah menyandang jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan aktif dalam sukan polo.

Baginda sememangnya amat dekat di hati rakyat Pahang kerana sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat, suatu nilai yang diwarisi daripada ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan