AM

Operasi SAR cari pelancong Finland terus buntu

01/02/2019 05:24 PM

ROMPIN, 1 Feb (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong warga Finland yang hilang di Pulau Tioman sejak 11 hari lalu terus menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk baharu selepas dia dilaporkan hilang bermula 23 Jan lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk pulau mengambil inisiatif membantu pasukan SAR mencari dengan cara alternatif iaitu mengggunakan khidmat bomoh bagi mencari mangsa yang dipercayai masih berada di kawasan Kampung Paya, Pulau Tioman.

Tinjauan Bernama di Pulau Tioman mendapati operasi giat dilakukan sejak awal pagi oleh seramai 68 anggota dan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu oleh tiga ekor anjing pengesan.

Bagaimanapun pada jam lebih kurang 3 petang tadi sekumpulan penduduk kampung dengan diketuai oleh seorang lelaki dipercayai bomoh turut masuk ke kawasan hutan berhampiran Paya Beach Resort bagi membantu pencarian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata walaupun tidak menemui sebarang petunjuk, pihaknya yakin mangsa Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20 masih berada di pulau peranginan berkenaan.

"Saya tidak fikir mangsa keluar dari pulau kerana barang-barang kepunyaan mangsa masih berada di rumah yang ditumpangi sebelum ini iaitu pasport, visa card, pakaian dan wang berjumlah RM6,000.

"Turut ditemui di dalam beg mangsa ialah sekeping tiket penerbangan dari Kuala lumpur ke Doha pada 23 Mac," katanya kepada Bernama selepas mengetuai operasi berkenaan di sini, hari ini

Menurutnya berdasarkan siasatan yang dilakukan imej mangsa kali terakhir berjaya dikesan menerusi rakaman litar tertutup yang dipasang di resort berhampiran pada jam lebih kurang 7 pagi hingga 8.30  pagi pada 22 Jan.

Siasatan mendapati mangsa tiba di Malaysia pada 18 Jan lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Jan sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.

Azli berkata operasi pencarian telah merangkumi lebih 10 kilometer persegi melibatkan kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Paya dan Kampung Gemilang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan