BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

Kesetiaan hanya harus diberi kepada negara - Dr M

11/02/2019 11:25 AM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Kesetiaan harus diutamakan untuk negara dan bukannya kepada pemimpin atau parti politik tertentu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika memberikan ingatan itu kepada anggota jentera pentadbiran pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Dr Mahathir berkata kesetiaan boleh diberikan kepada pemimpin hari ini atau parti tertentu jika mereka menjalankan tugas dengan baik untuk negara.

"Jika pemimpin atau parti itu dapat tinggikan pencapaian negara kita maka bersetialah kita kepada pemimpin dan parti itu," katanya.

Namun, katanya jika pemimpin itu didapati telah menyeleweng daripada menjalankan tanggungjawab, kesetiaan tidak seharusnya diberikan kepada pemimpin tersebut.

"Pemimpin diperlukan tetapi negara lebih utama. Kadang-kadang kita terpaksa ubah sedikit pandangan kita... janganlah terlalu taksub kepada pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tugas kita untuk negara," katanya.

"Kalau negara itu ditadbir dengan baik dia (kerajaan) perlu mendapat ketaatan dan kesetiaan daripada kita tetapi jika ada penyelewengan maka yang lebih utama ialah negara, bukan orang atau parti atau ideologi tertentu," katanya.

Perdana menteri berkata keputusan rakyat untuk menukar kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14,  Mei tahun lalu selepas 61 tahun tidak pernah bertukar sejak negara mencapai kemerdekaan sudah pasti menimbulkan perasaan tidak senang dan “tidak tentu arah” sesetengah pihak.

Ini kerana katanya, selama 61 tahun kesetiaan hanya diberikan kepada satu kumpulan tertentu. 

"Tetapi sekarang ini kita perlu beri kesetiaan kepada kerajaan yang terdiri daripada mereka yang dahulunya musuh kepada kerajaan lama.

"Yang utama bukan pertukaran kerajaan tetapi kesejahteraan dan kebaikan kepada negara," katanya.

Dr Mahathir berkata jika pemerintahan yang baharu berusaha untuk memajukan negara, dan rakyat mendapat nikmat daripada kemajuan itu, maka kesetiaan hendaklah diberikan kepada negara agar segala usaha yang baik untuk negara dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan